Categories: Trending

Jatuh Cinta Pandang Pertama, Nick & Simon Pilih Malaysia!

Duo kelahiran Belanda, Nick & Simon menjadikan Malaysia sebagai lokasi pertama untuk mula menapak di rantau Asia.

Simon Keizer, 34, dan Nick Schilder, 35, bukanlah nama asing di negara mereka, sebaliknya mengambil risiko untuk mengintai peluang di Malaysia dengan mempertaruhkan single terbaharu yang berjudul Kasih Sayang.

“Apabila dimaklumkan bakal berkunjung ke Malaysia buat pertama kalinya, kami ingin memilih perkataan yang dekat dengan masyarakat tempatan untuk diselitkan di dalam lagu yang bakal dihasilkan itu. Setelah melalui beberapa perbincangan, kami mencapai kata sepakat dengan ‘kasih sayang’.

“Mudah untuk mempelajari perkataan kasih sayang kerana kami mendapat bantuan teknologi untuk menyebutnya dengan betul. Biarpun diperkenalkan dengan perkataan itu hanya sekali, namun kami sudah dapat menangkapnya.

“Kami bakal berada di Malaysia sekitar 10 hari dan berharap dapat mendekati budaya, adat dan makanan tempatan yang pelbagai. Selain persembahan yang bakal diadakan pada 26 Julai depan, kami juga terbabit merakamkan penggambaran untuk siri dokumentari The Dream,” kata Nick kepada BH Online.

Selain menyelitkan bahasa ibunda dalam bait lirik, duo itu turut mempertaruhkan bahasa Inggeris untuk single terbaharu bagi berada dengan lebih dekat lagi penggemar muzik tempatan.

Bersahabat sejak di bangku sekolah lagi, Simon mengakui komunikasi adalah elemen penting bagi mengekalkan keserasian sebagai penyanyi duo.

SGMS Enal