Categories: Trending

Ketepikan Perbezaan Politik, Bangkit Pulihkan Malaysia – Tengku Zafrul

Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berpendapat, memandangkan negara masih dalam krisis kesihatan dan ekonomi, adalah penting untuk mengetepikan perbezaan dan memberi fokus ke arah tujuan bersama dalam melindungi kehidupan rakyat dan usaha pemulihan negara.

Ini kerana, ia amat penting untuk Pelan Pemulihan Negara (PPN) berjalan secepat mungkin.

“Negara kita sedang menghadapi dugaan kesihatan dan ekonomi yang amat besar. Banyak negara termasuk Malaysia yang berjaya mengekang penularan pandemik COVID-19 sebelum ini sedang menyaksikan kenaikan mendadak kes berikutan munculnya varian agresif seperti Delta dan Lambda yang lebih berbahaya kerana mudah tersebar berbanding virus asal.

“Maka, sementara ada antara kita yang ingin terus debat berjela mencari kesalahan pihak lain, hakikatnya kita makin kesempitan ruang dan waktu disebabkan penularan agresif varian baharu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambahnya lagi, apa yang penting adalah intipati utama iaitu kesejahteraan nyawa rakyat yang harus dilindungi dengan memastikan keupayaan sistem penjagaan kesihatan, terutamanya dari segi kapasiti untuk bertindak dan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK).

Justeru itu, beliau menyeru agar semua lapisan masyarakat bersatu padu dan fokus menangani dugaan dahsyat yang melanda negara.

“Saya mendoakan supaya kewarasan mengatasi kegilaan berpolitik, dan supaya kita semua aman daripada pertelingkahan yang tanpa batasan. Jangan biarkan perbezaan kita meruntuhkan semangat Malaysia untuk menyuburkan kembali negara yang kita sayangi.

“Ayuh ketepikan perbezaan di antara kita. Kita mampu berganding bahu memenangi perang melawan COVID-19, dan biarlah kejayaan itu kelak diraikan sebagai sesuatu yang kita semua telah Menang Bersama,”jelasnya.

 

 

Sumber : Bernama

Salma Syahbuddin