Agresif Ketika Ditahan Polis, Bekas Pemain Liga Super Didakwa Terlibat Kes Rompak?

Seorang bekas pemain bola sepak dilaporkan terlibat dengan kes pecah rumah yang berlaku di Pontian, Johor.

Memetik laporan Harian Metro, suspek dikatakan pernah bermain untuk beberapa pasukan utama Liga Super itu memecah masuk rumah hingga mangsa mengalami kerugian puluhan ribu ringgit pada Isnin lalu.

Bekas pemain bola sepak yang berumur 33 tahun itu telah ditahan pihak polis selepas melihatnya dalam keadaan yang mencurigakan dan bertindak agresif apabila ditahan.

“Suspek cuba bertindak agresif apabila polis cuba menahannya menyebabkan berlaku sedikit pergelutan kerana dia tidak mahu memberi kerjasama.

“Hasil siasatan, suspek mengakui melakukan aktiviti pecah rumah sebelum dia bersama seorang lagi rakannya menunjukkan lokasi di mana hasil rompakan disimpan semalam,” kata sumber ketika dihubungi Arena Metro.

Kongsi sumber lagi, bekas pemain bola sepak itu ditahan bersama rakannya mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan.

Untuk rekod, suspek merupakan bekas pemain bola sepak yang agak popular beberapa tahun lalu dan pernah berkhidmat untuk beberapa pasukan gergasi Liga Super di Selatan dan Utara tanah air.

Tambah, dia pernah berhijrah ke Thailand selama dua tahun malah pernah menjalani pemilihan bersama kelab berpengkalan di Jepun.

Lagi, kali terakhir dia pernah beraksi bersama pasukan Liga Super dengan kelab berpengkalan di utara tanah air pada 2018 namun bertukar haluan dengan bermain bersama skuad Liga M3.

Sumber: Harian Metro

Atiqah Johari