Alami Histeria Selama 8 Tahun, Wanita Maut Ketika Terima Rawatan Tradisional

Niat seorang wanita berusia 41 tahun untuk merawat penyakit histeria yang dialaminya sejak lapan tahun bertukar tragedi apabila dia maut ketika menerima rawatan di Pandan Perdana, Ampang semalam.

Namun begitu, punca kematian sebenar mengenai kejadian yang berlaku pada jam 6.35 petang itu masih dalam siasatan.

Memetik laporan Harian Metro, difahamkan mangsa pernah mendapatkan rawatan pakar psikiatri di hospital baru-baru ini.

“Mangsa ditemui dalam keadaan berbaring tidak sedarkan diri di ruang tamu rumah dan disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan yang hadir di tempat kejadian,” kata Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak.

Tambahnya, mangsa dikatakan datang ke rumah suspek sejak seminggu lalu bagi mendapatkan rawatan tradisional.

Suspek yang merupakan pengamal perubatan berusia 51 tahun turut ditahan pada jam 7.20 malam, semalam.

“Suspek akan ditahan reman pada hari ini di Mahkamah Ampang Jaya dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan iaitu bunuh,” ujarnya dalam satu kenyataan.

Sumber: Harian Metro

Aqilah Paharuzi