“Apabila Di Malaysia, Tolong Pakai Mask!” – Enggan Jaga SOP, Ini Pesan ‘Makan Dalam’ KJ

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin hari ini menerusi ciapannya di laman Twitter memaklumkan agar orang ramai tidak leka dan mempertikaikan prosedur operasi standard (SOP) sekaligus tampil menjawab tindakan seorang wanita warga asing yang tular kerana enggan memakai pelitup muka dalam kejadian di sebuah pusat beli-belah, Suria KLCC.

Menurut beliau, peraturan negara ini hendaklah dipatuhi tanpa mengira peraturan di negara lain.

“Apabila di Rom, lakukan seperti yang dilakukan oleh orang Rom. Apabila di Malaysia, tolong pakai pelitup muka. Tanpa mengira peraturan di tempat lain,” katanya.

Tegasnya, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sedang mendapatkan maklumat lanjut daripada pengurusan pusat beli-belah terbabit berhubung kejadian berkenaan.

Pada Rabu, tular sebuah video di Twitter mengenai seorang wanita warga asing yang dilihat memarahi pekerja di sebuah butik di pusat beli belah itu kerana tidak membenarkannya masuk akibat enggan memakai pelitup muka.

Malah, berdasarkan perkongsian video tersebut, wanita warga asing itu juga menggelarkan sesiapa yang memakai pelitup muka sebagai komunis.

 

Salma Syahbuddin