ASP Polis Buat ‘Live’ Di TikTok Ketika Serbuan Ditukar Ke SUKSIS UTM Johor Bermula Hujung Bulan 5

Pegawai polis wanita berpangkat Asisten Superintendan (ASP) yang tular baru-baru in kerana membuat video secara langsung (live) di aplikasi TikTok miliknya semasa sedang bertugas di serbuan pusat hiburan telah ditukarkan ke Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor.

Wanita berkenaan bertugas sebagai ASP Operasi Urusetia, Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman telah ditukarkan ke Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) IPK Johor dengan menyandang tugas sebagai ASP Kor Sukarelawan Polis Siswa Siswi (SUKSIS) bertempat di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Johor.

Memetik laporan Kosmo Online, Datuk Razarudin Husain selaku Timbalan Ketua Polis Negara mengesahkan arahan berkenaan pertukaran pegawai kanan terbabit.

“Betul, dia ditukarkan ke IPK Johor dan perlu melaporkan diri pada hujung bulan Mei depan,” ujarnya ringkas.

Artikel Berkaitan: ASP Polis Buat Live Di TikTok Ketika Bertugas Dikecam Ramai… Teruja Cecah 1,900 Tontonan, Sempat Promote Akaun Untuk Raih 100,000 Followers!

Terdahulu, pegawai wanita berkenaan yang bertugas du JSJN Bukit Aman menerima tohmahan bertubi-tubi daripada netizen atas tindakannya yang dianggap tidak beretika selepas membuat rakaman video secara langsung di TikTok miliknya semasa menjalan serbuan.

Video yang berdurasi satu minit 38 saat itu memaparkan wanita berkenaan berpakaian jaket seragam operasi Polis Diraja Malaysia (PDRM) tular di ruangan media sosial ketika sedang menerangkan tanggungjawab kerjanya semasa menjalankan serbuan dan pemeriksaan tersebut.

Susulan itu, Pengarah JSJN Bukit Aman, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay memberi jaminan bahawa tindakan tegas akan diambil terhadap pegawai wanita berkenaan tanpa diskrimani atau memilih bulu serta pangkat.

Sumber/Foto: Kosmo Online

Aqilah Paharuzi