Didakwa Menghina, Wakil OKU Buat Laporan Polis Terhadap Kak Long 7E

Nama Kak Long 7E semakin menjadi perbualan hangat orang ramai dek kerana kontroversi yang dicetuskan.

Terbaru, individu yang bernama Wan Nor Baizurra ini didakwa menghina golongan Orang Kurang Upaya (OKU) tanpa memikirkan perasaan mereka.

Video yang tular di ruangan media sosial itu telah meraih perhatian orang ramai yang meluahkan rasa kesal dan kecewa akan tindakan Kak Long 7E yang didakwa tidak bermoral.

Menerusi video ‘live’ di media sosial Kak Long 7E, dia telah membuat mimik muka senget serta berjalan tempang ketika menjawab komen-komen kecaman netizen.

Tindakan yang dikatakan kurang bijak itu dilihat sangat biadap lebih-lebih lagi selepas dirinya kembali tular apabila dijemput sebagai tetamu di salah sebuah program di stesen televisyen Islamik.

Rentetan hal itu, seorang wakil Persatuan OKU Sentral, Khairull Hafiz telah mengambil tindakan sewajarnya dengan membuat laporan polis atas penghinaan yang diterima oleh golongan OKU.

Hantaran yang dimuat naik di akaun Facebook miliknya mendapat perhatian orang ramai yang menyokong tindakan Khairull untuk membuat laporan atas isu sensitif berkenaan menghina OKU.

Meninjau di ruangan komen hantaran tersebut, ramai dalam kalangan wargamaya yang mengucapkan terima kasih serta berharap agar laporan polis tersebut dapat memberi pengajaran kepada Kak Long 7E.

Mengulas lanjut, di akaun Facebook milik Kak Long, dia memaklumkan bahawa dia tidak berniat untuk mengejek warga OKU, namun netizen tidak mengendahkan permohonan maafnya kerana perkara yang dilakukan olehnya itu didakwa tidak berperikemanusiaan dan sangat biadap.

Aqilah Paharuzi