Hadir Bertemu Peminat Untuk Promosi Korea, Lee Jae Wook Puji Keindahan Landskap & Alam Semula Jadi Malaysia!

Pelakon Korea terkenal, Lee Jae Wook datang ke Malaysia bagi menghadiri sesi bertemu peminat bagi program ‘Annyeong Kawan with Lee Jae Wook’, semalam.

Menerusi sidang media yang diadakan di Pusat Seni Persembahan Petaling Jaya, 1 Utama, banyak persamaan antara Malaysia dan Korea memandangkan Jae Wook telah melakukan sedikit kajian sebelum tiba di Malaysia.

“Sebelum saya datang, saya ada buat sedikit research di internet dan mendapati terdapat banyak persamaan antara Malaysia dan Korea. Saya benar-benar tidak sabar untuk datang dan melihat sendiri,” katanya.

Bercakap mengenai persamaan antara dua negara ini, aktor Alchemy of Souls itu menganggap keindahan landskap dan alam semula jadi Malaysia dan Korea sama cantik.

Bukan itu sahaja, duta kehormat Organisasi Pelancongan Korea (KTO) turut mencuba makanan di Malaysia dan mendapati hidangan yang dicuba olehnya itu lazat.

“Sudah tentu landskap dan nature. Itu adalah salah satu persamaan antara Malaysia dan Korea. Kedua-duanya mempunyai landskap yang sangat cantik dan sebab itu juga saya datang ke sini.

“Tetapi bila saya tiba di Malaysia, saya telah mencuba makanan di sini dan mendapati makanan tersebut sangat sedap,” katanya lagi.

Jae Wook turut meluahkan rasa terharu apabila ketibaannya ke negara ini telah diterima dengan baik dan turut mengucapkan terima kasih kepada peminatnya yang mengalu-alukan kedatangannya.

“Ketibaan saya di Malaysia diterima dengan baik dengan penuh kasih sayang peminat. Ini akan saya simpan sebagai salah satu momen terindah saya. Sekali lagi saya mengucapkan terima kasih,” katanya lagi.

Dalam perkembangan lain, Jae Wook bertindak sebagai duta kehormat KTO akan menggunakan pesonanya untuk mengajak ramai pelancong bercuti ke negara terbabit menerusi kempen ‘Annyeong Kawan’ sempena tahun melawat Korea pada 2022 dan 2023.

Dharnieya Nur Amelsa