Halusinasi Dipercayai Punca Remaja Tikam Ibu Sedang Tidur

Remaja lelaki berusia 14 tahun yang menikam ibunya dengan menggunakan pisau dalam kejadian di Pasir Puteh, malam kelmarin dipercayai mengalami halusinasi.

Pemangku Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhmamad Zaki Harun berkata, dakwaan tersebut harus diperkukuhkan dengan rawatan daripada pihak hospital.

Tambahnya, halusinasi yang dialami suspek itu juga menyebabkan dia demam sehingga memerlukan penjagaan ibunya yang berusia 41 tahun sejak dua hari sebelum kejadian tersebut.

“Ikut kenyataan, suspek dikatakan berada dalam satu suasana pemikiran tidak normal, halusinasi tapi itu perlu dibuktikan, kenyataan sahaja tak boleh dipakai.

“Kita akan hantar ke hospital, rujuk pakar psikologi. Siasatan bermula semalam untuk melihat karakter pelaku ini di luar dan sekolah macam mana, ini akan diambil kira semasa kita rujuk kepada pakar psikologi nanti.

“Kita juga menjalankan ujian saringan dan keputusannya adalah negatif,” katanya.

Ibu suspek parah selepas ditikam dengan pisau oleh anak lelakinya ketika mangsa sedang tidur di rumahnya.

Kejadian tragis itu berlaku di Bukit Yong, Pasir Puteh, Kelantan pada jam 11.45 malam hari rabu, 25 Mei.

Sumber/foto: Harian Metro

Aqilah Paharuzi