Inspektor Sheila Kongsi Ciri Lelaki Idaman – “Tak Hensem Tak Apa, Janji Muda & Tak Gemuk”

Pegawai polis tular, ‘Inspektor Sheila’ atau nama sebenarnya Sheila Sharon Steven Kumar, mengakui dia tidak berminat dengan wajah kacak seseorang sebaliknya mahu jejaka yang lebih muda.

Menurut Berita Harian, Sheila lebih suka apabila seseorang tersebut dapat ‘melembutkan’ dirinya yang berperwatakan tegas.

“Saya tak kisah rupa paras, tak terpikat tengok muka ‘handsome’ (kacak) tapi lagi suka lelaki muda.

“Satu bonus buat mereka (lelaki) jika boleh buat saya yang begini (tegas) jadi manja,” kongsi Sheila

Dalam pada itu, Sheila tidak menyangka muat naik iklan cari jodoh yang dibuatnya menerima banyak komen dan kiriman mesej di Facebook (FB) baru-baru ini.

“Selepas tular cerita mengenai status saya yang bujang, keluarga ada tanya kenapa beritahu dan ramai juga bertanya mengenainya.

“Disebabkan pening dengan pertanyaan itu, saya nekad muat naik satu hantaran bagi mencari pasangan dan perkongsian berkenaan meraih 1,000 tanda suka.

“Memang ramai lelaki nak berkenalan bukan setakat Melayu, Cina dan India tetapi juga Punjabi yang menetap di negara ini,” kongsinya.

Disoal mengenai kriteria calon pasangan yang diidamkan, Sheila berkongsi bahawa individu tersebut mestilah bujang, tidak mengongkong, aktif bersukan dan paling utama menghormati wanita

“Lelaki itu kena ‘fit ‘(cergas), tak nak orang gemuk kerana apabila sudah berkahwin nanti, saya akan tengok muka dia 24 jam.

“Dia juga kena pandai bertutur dalam bahasa Inggeris kerana saya ada Ijazah Sarjana Muda Bahasa Inggeris, suka melancong, utamakan keluarga dan agama selain ada ‘standard’ (menepati piawaian) serta berfikiran kelas dunia.

“Sebenarnya, saya ada berkenalan juga dengan ramai lelaki Melayu dan ramai yang ‘sporting’ malah saya terbuka saja.

“Cuma, saya belum jumpa lelaki yang sesuai malah setakat ini tiada lagi yang lepas saringan. Sebab itu saya memilih jadi bujang dan kalau ‘single’ solo seumur hidup pun saya ‘happy’ (gembira) saja,” jelasnya.

Terdahulu, Sheila memuat naik hantaran di Fb mencari teman hidup tanpa mengira umur, agama, bangsa dan kerjaya.

ARTIKEL BERKAITAN: “Saya Masih Bujang Sebab Terlampau Tegas, Tak Ramai Lelaki Sukakannya” – Inspektor Sheila

Khairil Khusyairi