Polis Langgar Zaharif  Didakwa Atas Tuduhan Membunuh, Bakal Berdepan Hukuman Mati Atau Penjara Tidak Lebih 40 Tahun

Kes bunuh pelajar Tingkatan 5, Muhammad Zaharif Affendi Muhd Zamrie, 17,  yang tular baru-baru ini akhirnya terbela.

Ia susulan, tertuduh yang juga merupakan pegawai kanan polis dihadapkan di Mahkamah Majistret di sini, hari ini, atas tuduhan membunuh pelajar tersebut pada 15 Disember lalu.

Memetik laporan Harian Metro, tertuduh yang dikenali sebagai Mohd Nazri Abdul Razak, 44, yang berpangkat Deputi Superintendan dan bertugas di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah mengangguk faham selepas pertuduhan yang dibacakan di hadapan Majistret S Punitha.

Kesalahan itu memperuntukkan hukuman mati, atau penjara minimum 30 tahun dan tidak melebihi 40 tahun, dan jika tidak dihukum mati hendaklah juga dihukum dengan tidak kurang daripada 12 sebatan.

Pertuduhan dikendalikan oleh lapan timbalan pendakwa raya yang diketuai oleh Azlina Rasdi, Khairul Azreem Mamat,  Afzainizam Abdul Aziz, Saiful Akmal Mod Said, Nasrul Hadi Abdul Ghani,  J S Geetha,  Low Qin Hui, dan Wan Azimah Yaacob.

Manakala, tertuduh diwakili peguam, Jacky Loi Yap Loong.

Keluarga terdekat mangsa termasuk abang, Zarul Fitri Muhd Zamrie, 29, selain bapa saudara, Abdul Razak Judin, 48, turut berada dalam kamar mahkamah sama ketika pertuduhan dibacakan ke atas Mohd Nazri.

Terdahulu, kanak-kanak malang itu maut akibat dilanggar sebuah kereta berhampiran Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jati, Ipoh, Perak  dalam persiapan ke masjid untuk menunaikan solat Jumaat.

 

Sumber: Harian Metro

Salma Syahbuddin