“Tak Salah Buat Konsert Jika Tak Ada Album” – M Nasir

Penyanyi legenda tanah air, Datuk M Nasir menyifatkan penganjuran sesebuah konsert adalah berdasarkan kualiti dan mutu yang dipersembahkan seseorang penyanyi.

Menurut laporan Harian Metro, M Nasir berkata, dia tidak setuju sekiranya penyanyi yang mempunyai album penuh sahaja yang layak mengadakan konsert.

“Apabila kita memperkatakan mengenai konsert, ia adalah persembahan dan daya persembahan seseorang penyanyi itu harus kuatlah.

“Sekiranya penyanyi itu memiliki personaliti atau pesona menarik dan semua orang menyukainya, itu sudah cukup untuk artis berkenaan mengadakan konsert,” katanya.

Tambah pelantun lagu hits, Suatu Masa ini lagi, adalah tidak menjadi kesalahan sekiranya mengadakan konsert tanpa lagu-lagu popular.

“Saya tidak rasa menjadi satu kesalahan jika seseorang penyanyi mahu mengadakan konsert tetapi tidak memiliki lagu-lagu popular,” katanya lagi.

Mengulas mengenai pembabitan komposer-komposer muda, M Nasir yang juga komposer terkenal itu menyifatkan karya zaman kini perlu mengikut keperluan semasa.

“Budak-budak sekarang mungkin minat mempelajari sastera juga semakin berkurang. Mereka tidak faham betapa pentingnya perlu menguasai keindahan bahasa.

“Hakikatnya, kita kena tanya diri kita sendiri sama ada masih perlu atau tidak untuk menghasilkan lirik-lirik puitis seperti lagu-lagu terdahulu,” katanya.

Terdahulu, maestro muzik ternama, Datuk Ramli MS menyeru bakat baharu di era digital kini agar bekerja lebih keras jika mahu bertahan lama dalam industri muzik tanah air.

Malah, Ramli juga berharap penyanyi kini dapat hasilkan album dan bukannya terlalu fokus dalam menerbitkan single.

ARTIKEL BERKAITAN: “Konsert Dua Jam Tapi Kalau Ada Lima Lagu Sahaja Macam Mana?” – Ramli MS Seru Bakat Baharu Buat Album Demi Masa Depan

ARTIKEL BERKAITAN: Gandingan Legenda! M Nasir, Hattan Berkongsi Pentas Dalam Konsert Sifu Dan Aku

Sumber: Harian Metro

Khairil Khusyairi