SFMM37: Wani Kayrie & Ahmad Syafiq Akan Terus Pikul Tugas Penyanyi Gantian Jika Bolos Ke AJL

Pasangan duet, Wani Kayrie dan Ahmad Syafiq mahu terus memikul tugas sebagai penyanyi gantian sekiranya lagu ini mempunyai rezeki untuk ke pentas akhir Anugerah Juara Lagu ke-37 (AJL37).

Wani dan Syafiq membawakan lagu Berakhirlah Pencarianku di pentas Separuh Akhir Muzik Muzik 37 (SFMM37) menggantikan penyanyi asal, Ernie Zakri dan Hafiz Suip.

“Seperti yang diberitahu oleh management kami, kami akan meneruskan lagu ini sampai habis Insya-Allah.

“Saya dan Syafiq hanya dapat merancang persembahan dalam masa kurang satu minggu,” kata Wani.

Susulan itu, dia dan Syafiq belum membuat persiapan lagi jika lagu Berakhirlah Pencarianku dapat masuk ke pentas akhir.

“Macam kami plan semi final ini pun kurang dalam satu minggu, jadi kami setakat ini tak ada plan untuk ke final.

“Tapi Insya-Allah kalau diberi rezeki untuk ke final, kami akan buat something different dari segi muzik arrangement dan cara penyampaian untuk menyampaikan dalam cara kami tersendiri.

“Untuk pentas separuh akhir ini, saya dan Syafiq hanya menyanyi lagu ini mengikut penyanyi asal,” kata Wani lagi.

Sementara itu, ketika ditanya berkenaan komen negatif, Syafiq akui membaca kritikan yang diterima tetapi dia lebih memilih untuk melihat ke arah positif.

“Komen itu sebenarnya ada sejak seminggu lepas lagi. Kami dah baca sebab kadang kadang nak tahu juga apa yang mereka nak cakap sebenarnya.

“Walaupun sepatutnya kami tak baca sebab benda tu yang boleh buat kami ‘down’, tapi kami jadikan komen itu sebagai semangat untuk kami bagi seratus peratus untuk persembahan ini,” katanya lagi.

Wani dan Syafiq ditemui XTRA usai hari pertama SFMM37 di Sri Pentas 2, Plaza Alam Sentral, Shah Alam, semalam.

Selain Berakhirlah Pencarianku, 17 lagu lain turut berentap di hari pertama SFMM37.

Hari kedua SFMM37 bakal menyaksikan baki 12 lagu yang bakal bertanding merebut tempat ke AJL37.

Jangan lupa saksikan SFMM37, hari ini, jam 3 petang hanya di TV3 atau strim secara langsung di tonton.com.my, YouTube TV3Malaysia dan TikTok TV3Malaysia.

Dharnieya Nur Amelsa