Tak Masuk Konti Radio, KJ Didakwa Ada Konflik Dengan AG?

Bekas Menteri Kesihatan dan penyampai radio Hot FM, Khairy Jamaluddin mendedahkan berlaku konflik antara dirinya dengan rakan penyampai radio, AG.

Menerusi siaran langsung di TikTok, Khairy atau lebih dikenali dengan gelaran KJ membalas pertanyaan pengikutnya yang bertanyakan sebab tidak ‘on air’ di stesen radio, Hot FM.

“Kenapa tak on air pagi ni?” tanya pengikutnya.

“Saya tak on air pagi ni sebab ada sedikit konflik di antara saya dan AG. Selagi konflik tak selesai, saya tidak akan kembali,” balas KJ.

Kenyataan KJ tersebut mendapat pelbagai reaksi netizen dan menimbulkan tanda tanya mengenai konflik yang berlaku.

Namun, dia bertindak untuk tidak menjelaskan lebih lanjut tentang perkara itu.

“Konflik apa? Sorry saya tak boleh beritahu pasal itu,” ujarnya.

Sementara itu, pihak Hot FM dan Media Prima Audio (MPA) sedang meneliti perkara ini.

Timbalan Pengarah Rangkaian Kumpulan MPA (Hot FM, Kool101, Digital), Shah Hayatudin, berharap agar semua kekal bertenang.

“Buat masa sekarang, pihak Hot FM dan MPA sedang menyiasat serta mencari punca apa yang sedang terjadi.

“Saya harap pendengar semua bertenang dan terus menyokong Hot FM. Sekiranya ada apa-apa perkembangan terbaru, kami akan maklumkan,” katanya kepada XTRA.

Sekadar info, KJ mula bertugas sebagai penyampai radio pada 15 Februari lalu menerusi segmen Bekpes Hot bersama rakan penyampai lain iaitu Fara Fauzana, Johan dan AG.

Maya Basir