Categories: Trending

‘Mak Esah’ Misha Omar akhirnya minta maaf!

Akhirnya individu yang menggelarkan penyanyi bervokal hebat, Misha Omar, sebagai ‘mak esah’ membuat permohonan maaf kepada pelantun lagu Sampai Bila itu.

Misha atau nama sebenarnya, Samiha @ Aisah Omar mengakui menerima pesanan atau Direct Message (DM) daripada individu yang dikenali sebagai Zahar atau Ahmad Azhar berhubung isu fitnah dirinya menggunakan sihir pada malam Anugerah Juara Lagu ke-33 (AJL 33).

“Saya ada menerima DM daripada individu berkenaan semalam dan sudah membalasnya petang hari ini.

“Saya beritahu, perkara ini sudah diserahkan kepada peguam untuk ditetapkan tarikh sementara menunggu individu lain tampil supaya dapat diadakan pertemuan bersama-sama,” katanya.

Menerusi mesej dihantar, Misha menggelarkan dirinya sebagai Mitch itu juga mahu Zahar memaklumkan kepada individu lain sekiranya mengenali mereka untuk tampil berbuat perkara sama.

“Insya-Allah pertemuan akan dibuat dalam masa terdekat,” kata penyanyi Sampai Bila itu.

Dalam paparan mesej yang dihantar, Zahar memberitahu mengenali seorang lagi individu yang menggunakan akaun Tengku Muda yang turut didakwa memfitnah Misha.

“Tengku Muda sekali dengan saya Kak Mitch (Misha). Dia juga akan ada sekali waktu itu. Terima kasih Kak Mitch,” balas Zahar. 

Dalam pada itu, lelaki berusia 27 tahun itu tidak menyangka hal ini menjadi besar kerana menganggap kenyataan sebelum ini sebagai gurauan.

“Jujur saya takut dan macam-macam hal bermain di fikiran saya. Saya fikir bagaimana nak cari duit bayar sama dan duduk penjara. Saya minta maaf,” katanya.

Terdahulu, Misha melakukan sidang media menuntut permohonan maaf daripada beberapa individu yang menuduhnya menggunakan sihir untuk bersemuka dengannya dalam tempoh tujuh hari atau berdepan tindakan susulan.

Yanie Baharom