Categories: Trending

McDonald’s Malaysia Nafi Salur Dana Kepada Israel

McDonald’s Malaysia semalam menafikan dakwaan palsu yang mengatakan kononnya pihaknya ada menyalurkan dana kepada Israel.

Menerusi satu posting di Facebook rasminya, McDonald’s Malaysia juga sempat menzahirkan rasa kecewa mereka apabila ada seruan untuk memboikot restoran mereka.

“McDonald’s Malaysia sangat kecewa dengan seruan untuk memboikot restoran kami, sebagai tindak balas terhadap pengumuman Presiden Trump baru-baru ini.

“Sebagai rakyat Malaysia, kami memahami kekecewaan yang dirasai oleh umat Islam di seluruh dunia berhubung isu ini. Marilah kita bersatu dan menumpukan perhatian kepada perjuangan yang betul, dan mendoakan yang sebaiknya untuk mereka yang menerima kesan disebabkan perkembangan ini.

Menafikan tuduhan itu, McDonald’s Malaysia berkata sebenarnya McDonald’s di Malaysia dikendalikan oleh Gerbang Alaf Restaurants Sdn Bhd – satu syarikat yang 100% milik tempatan dan pemegang saham terbesarnya adalah beragama Islam.

“Dakwaan bahawa McDonald’s menyalurkan dana kepada Israel adalah satu tuduhan yang tidak benar, dusta, palsu dan fitnah. Dakwaan yang dibuat oleh pihak yang tidak bertanggungjawab dalam mesej WhatsApp juga tidak berasas.

“Adalah penting untuk semua mengetahui bahawa perniagaan McDonald’s di Malaysia dikendalikan oleh Gerbang Alaf Restaurants Sdn Bhd, dan syarikat ini 100% milik tempatan serta pemegang saham terbesarnya beragama Islam. Kami juga tidak menyokong atau terlibat dalam sebarang konflik politik atau keagamaan di mana-mana negara di dunia.” kata Azmir Jaafar yang merupakan Pengarah Urusan & Pemilik Saham Tempatan syarikat terbabit.

McDonald’s juga berkata mereka telah membelanjakan lebih RM2.5juta tahun ini untuk lebih 5,000 aktiviti kemasyarakatan.

“McDonald’s telah lama menjadi sebahagian daripada masyarakat Malaysia. Tanggungjawab sosial korporat amat kami titik beratkan dan lebih RM2.5juta telah dibelanjakan pada tahun ini sahaja untuk lebih 5,000 aktiviti-aktiviti kemasyarakatan dan turun padang di sekitar Malaysia.

“Kami menganggap tuduhan sedemikian sebagai fitnah dan tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan terhadap mana-mana pihak yang tidak bertanggungjawab, yang terus menyebarkan pembohongan melalui platform media sosial dan saluran-saluran lain.

“Bantulah kami menyebarkan kebenaran dengan berkongsi mesej ini kepada rakan-rakan dan keluarga anda.” tulisnya.

Baru-baru ini, Presiden Amerika Donald Trump mengangkat Baitulmaqdis sebagai ibu kota Israel dan tindakan itu menyebabkan kemarahan umat Islam diperingkat global.

SGMS Enal