Categories: Trending

Panggang, Rebus Atau Kukus, Penduduk Hanoi Digesa Henti Makan Daging Anjing

‘ Tolong Berhenti Makan Daging Anjing’, itu peringatan pihak berkuasa Hanoi yang segera menggesa penduduk di sana supaya tamatkan aktiviti tersebut.

Daging anjing yang menjadi ‘kegemaran’ penduduk di sana dilaporkan menjejaskan imej bandar terbabit selain meningkatkan wabak anjing gila.

Di Hanoi, daging anjing boleh ditemui di banyak pasar dan gerai makanan sama ada dipanggang, direbus atau dikukus.

Secara tradisi, daging itu dimakan bersama arak.

Bagaimanapun, Jawatankuasa Rakyat Hanoi, semalam memberi amaran kepada penduduk supaya meninggalkan kegemaran daging anjing untuk mengelak wabak anjing gila atau penyakit bawaan haiwan lain.

Ia juga menggesa mereka supaya berhenti makan daging kucing yang sering ditulis sebagai ‘harimau kecil’ dalam menu Vietnam. Ia kurang popular berbanding daging anjing, namun masih ditawarkan di luar bandar.

Menurut satu kenyataannya, amalan membunuh haiwan adalah kejam dan pihak berkuasa berharap ia boleh dihentikan secara berperingkat.

Katanya, tujuan amaran itu adalah untuk mengekalkan reputasi Hanoi sebagai ibu negara bertamadun dan moden di kalangan warga asing yang ramai beranggapan makan haiwan yang sering dijadikan sebagai peliharaan sebagai ditegah. – AFP

SGMS Faida