Categories: Trending

Ribut Pasir Tak Gugat Semangat Jemaah Haji

Lewat petang semalam, ribut pasir dilaporkan telah melanda Padang Arafah lokasi di mana jemaah haji bersiap sedia untuk berwukuf.

Kejadian angin kencang itu menyebabkan beberapa khemah jemaah rosak dan bekalan eletrik terganggu. 

Memetik laporan BH Online, kejadian bermula sekitar jam 6.30 petang di mana jemaah haji dalam keadaan tidak menyangka kawasan itu akan dibadai ribut.

Bagaimanapun ribut yang melanda tidak menggugat semangat jemaah haji untuk melakukan wukuf apabila menganggap hujan yang dialami sebagai satu rahmat dan ujian dalam menunaikan ibadat haji.

Ketua rombongan jemaah Tabung Haji Malaysia, Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman, berkata semua jemaah Malaysia berada dalam keadaan selamat.

Beliau berkata, pihak berkuasa Arab Saudi terpaksa memotong sementara bekalan elektrik ke kawasan perkhemahan ketika ribut melanda di antara jam 6.30 petang hingga 8.30 malam demi memastikan keselamatan jemaah haji.

“ Sebahagian khemah yang rosak akibat bencana itu sedang dibaiki oleh pihak berkuasa.

“ Bekalan elektrik ke kawasan perkhemahan dipulihkan secara berperingkat mulai jam 10.45 malam,” katanya.

Seramai 30,200 jemaah haji Malaysia mula tiba secara berperingkat untuk berwukuf di Arafah mulai pagi semalam, bagi menyertai kira-kira tiga juta jemaah haji dari seluruh dunia berhimpun di sini yang menjadi rukun dalam ibadat haji. 

SGMS Faida