Categories: Trending

Sambil Menikmati Makan Malam Mewah, Boleh Berswafoto Di Atas Sayap Kapal Terbang. Wow!

Wah! Bertuahnya gadis ini. Bukan saja berpeluang menikmati makan malam yang hebat di dalam kapal terbang bahkan diberi layanan first class daripada pelayan yang bertugas.

Paling epik, wartawan dari syarikat penerbitan mStar itu, berpeluang berswafoto di atas sayap kapal terbang yang biasanya dapat kita lihat dari tepi tingkap saja.

Jangan tak tahu, tengah viral sekarang ini di mana Kuala Lumpur menambahkan satu lagi daya tarikannya dengan pelancaran Plane In The City, sebuah kapal terbang lama yang diubahsuai menjadi sebuah restoran ekslusif.

Foto: msn.com

Restoran ini bakal menjadi fenomena baru kepada warga luar dan tempatan kerana ia merupakan pertama seumpamanya di Malaysia.

Plane In the City Kuala Lumpur akan memberikan pengalaman berbeza menjamu selera. Selama 90 minit berada di dalam ruang kokpit kapal terbang jenis Boeing 737, anda bukan sahaja akan dapat menikmati hidangan lazat yang disediakan oleh Le Meridien KL, malah anda turut berpeluang untuk bergambar di ruang kokpit serta berjalan di atas sayap kapal terbang.

Plane In The City Kuala Lumpur terletak di SKYLAND Bukit Bintang cukup strategik kerana lokasi ini merupakan antara nadi utama kepada pelancongan dalam bandar Kuala Lumpur.

Foto: Asia Tatler

Plane In The City Kuala Lumpur menerima 20 orang sahaja dalam setiap sesi bagi menjaga eksklusiviti. Anda akan dihidangkan dalam 3 atau 4 hidangan (bergantung kepada jenis pakej yang dibeli) yang disediakan oleh Hotel Le Meridien Kuala Lumpur, sebuah hotel bertaraf 5 bintang yang telah diakui kehebatannya dalam penyediaan hidangan lazat dan mewah.

Chef Antonie Rodriquez selaku Chef Eksekutif Le Meridien Kuala Lumpur berkata, makanan menurut tradisinya adalah sesuatu yang suci, ia bukan tentang nutrisi dan kalori sahaja. Ia tentang satu perkongsian, kejujuran dan identiti.

Foto: Business Insider Malaysia

Maka falsafah dalam masakan harus menjadi pengalaman intim dan atas sebab itu tercetuslah idea di sebalik menu yang terdapat di Plane In The City Kuala Lumpur.

Plane In The City Kuala Lumpur merupakan satu pengalaman baru yang tidak harus dilepaskan. Ternyata ia bakal membawa pengalaman menjamu selera di kelas yang tersendiri.

Tiket dijual pada harga RM199 seorang untuk Kelas Ekonomi, RM399 seorang untuk Kelas Perniagaan dan RM999 seorang untuk Kelas Pertama dan ia boleh dibeli menerusi laman web www.planeinthecity.com

 

Sumber Video: mStar

Sumber Artikel: Business Insider Malaysia

Yanie Baharom