Categories: FeaturedTrending

Sedekah untuk arwah papa, Nora Danish nangis teresak-esak berjaya khatam al-Quran

Dalam keadaan masih bertelekung dan memeluk senaskah al-Quran berwarna biru muda, pelakon berwajah comel, Nora Danish, 38, kelihatan menangis teresak-esak.

Tangisan yang turut mengundang sebak pengikutnya di Instagram, adalah tangisan kegembiraan dan kesyukuran apabila akhirnya berjaya khatam al-Quran, selepas bertahun-tahun niat itu tergendala.

Realitinya, sesiapa sahaja mampu menghabiskan bacaan novel beratus muka surat dalam masa sehari, tetapi untuk khatam sebuah al-Quran tidak ramai yang mampu melakukannya.

Foto: Instagram Nora Danish

Ketekunan aktres yang mencipta nama menerusi drama Puteri itu untuk menyudahkan bacaan 30 juzuk al-Quran, berlandaskan niat murni untuk menghadiahkan usaha itu kepada bapanya, Allahyarham Mohd Danish Hanif.

“Nak sangat hadiahkan pada arwah papa dalam bulan penuh keberkatan ni. Semoga rohnya dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan orang beriman. Ampunilah dosanya Ya Allah. Terimalah bacaan hamba-Mu yang tidak sempurna ini Ya Allah,” tulis Nora.

Mengakui permulaan yang agak lambat untuk mendapatkan rentak dan konsistensi dalam bacaan, namun begitu ibu kepada dua orang putera ini tidak lokek berkongsi pengalaman menghabiskan bacaan al-Quran walaupun caranya mungkin berbeza dengan orang lain.

 

 

“Ya Allah syukur alhamdulillah, mengalir air mata kegembiraan. Macam tak percaya dapat khatam al-Quran pada sembilan malam terakhir Ramadan.

“Nampak mudah khatam ni bagi sesetengah orang, tetapi tidak bagi Nora. Dengan jadual Nora yang padat niat nak khatam bertahun-tahun tersekat.

“Pada mulanya satu muka surat nak habiskan rasa susah. Lama-lama lima muka surat jadi 10, jadi 20, jadi 30 dan seterusnya boleh cecah 150 muka surat satu hari.

“Sampai rasa tak sabar nak bangun tidur dan mula mengaji. Berkat doa sungguh-sungguh lepas Subuh sampai menangis minta Allah beri jalan mudah untuk mengaji,” tulisnya lagi.

Nora juga sempat menitipkan ucapan terima kasih kepada pengikut yang mendoakannya setiap kali dia berkongsi perjalanan khatam. Perjalanan khatam itu juga tidak akan sempurna tanpa doa suaminya dan ibu tercinta.

“Suami yang banyak bersabar mendengar suara sumbang setiap hari. Ada hikmah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini. Bagi saya, boleh fokus 110 peratus,” tulis Nora.

Selain Nora, antara selebriti lain yang turut menggunakan kesempatan PKP untuk menamatkan bacaan al-Quran adalah pelakon dan penyampai radio Siti Elizad.

Yanie Baharom