Categories: Trending

Sungguh, Ini Manfaat Apabila Mengerjakan Ibadat Puasa Di Bulan Ramadan

Datangnya setahun sekali.

Esok seluruh umat Islam di Malaysia dan beberapa negara lain di dunia dijangka menyempurnakan Rukun Islam ketiga iaitu berpuasa di bulan Ramadan.

Terdapat lebih 1001 manfaat dalam mengerjakan ibadat puasa. Selain dapat menyihatkan tubuh badan, ini antara 5 manfaat lain buat umat Islam yang berpuasa di bulan Ramadan menurut laman web rasmi Mufti Wilayah Persekutuan.

Dosa Terhapus

Puasa adalah pintu segala ibadah kerana dengan berpuasa Allah SWT akan mengampuni dosa-dosa seseorang hamba.  Apabila dosa-dosanya diampunkan maka ianya  menjadikan hati bercahaya dan cahaya itu akan menimbulkan keghairahan untuk melakukan setiap amal ibadah yang lain dengan bersungguh-sungguh.

Namun, ulama mengingatkan bahawa hanya dosa-dosa kecil sahaja yang terhapus dan dosa-dosa besar tidak akan terhapus melainkan dengan hanya bertaubat kepada Allah SWT dengan sebenar-benar taubat.

Mujadalah & Kekentalan Jiwa

Puasa memaksa kita meninggalkan nafsu syahwat walaupun perkara yang telah dihalalkan kepada kita untuk melakukannya sebelum Ramadan. Apabila berpuasa, secara tak langsung mendidik kita untuk lebih tegas dan meninggalkan perkara yang haram.

Menjaga Masa

Puasa mengajar setiap muslim untuk teliti dengan masa dan jadual hidup. Ketika bulan Ramadan, seorang Muslim perlu teliti dalam menentukan waktu berbuka dan sahur kerana sedikit kesilapan akan membatalkan puasanya.

Disiplin masa amat perlu dalam kehidupan setiap muslim agar perancangan hidup akan berjaya.

Mengenal Erti Kejayaan Sebenar

Puasa mengajar mukmin mengenal erti kejayaan sebenar. Orang yang berpuasa akan menemui 2 kejayaan. Pertama, ketika berbuka. Kedua, ketika menemui Tuhannya.

Memperkukuh Kesatuan Ummah

Dengan berpuasa, akan terbit rasa prihatin dan belas kasihan kepada fakir miskin, lantaran itulah disyariatkan zakat fitrah dalam bulan barakah ini untuk menguatkan lagi perasaan tersebut. Perasaan ini adalah titik tolak kepada rasa tanggungjawab untuk melakukan pembaikan dalam masyarakat.

Semoga bermanfaat buat semua. Selamat menyambut Ramadan Al-Mubarak.

Syafiqa Irdina