Bantuan Insentif Kelahiran RM100 & Pemberian Geran Sepadan Sehingga RM10,000 Buat Ibu Bapa, Semak Syarat & Cara Mohon

Kerajaan Negeri Kedah telah memperkenalkan Program Anakku Sejahtera dengan menyalurkan insentif kelahiran sebanyak RM100 kepada akaun Simpan SSPN Prime kepada setiap bayi yang lahir dalam tahun 2021.

Ia adalah salah satu usaha Kerajaan Negeri Kedah untuk membasmi kemiskinan dan memberi bantuan dalam bentuk tabungan pendidikan dengan peruntukan sebanyak RM1 juta.

Justeru itu,  ibu bapa yang mendaftar anak baru dilahirkan di Negeri Kedah daripada 1 Januari hingga 31 Disember 2021 layak mendapat simpanan RM100 ke dalam akaun Simpan SSPN Prime anak mereka.

Manfaat kepada ibu bapa

Ibu bapa yang membuka akaun Simpan SSPN Prime juga akan menerima manfaat istimewa seperti pemberian dividen setiap tahun, pelepasan taksiran cukai pendapatan, pemberian geran sepadan sehingga RM10,000, perlindungan takaful percuma serta khairat kematian.

Syarat Permohonan

Bagi ibu bapa yang ingin memohon Program Anakku Sejahtera ini, mereka perlu memenuhi syarat-syarat permohonan iaitu:

  1. Bayi mestilah warganegara Malaysia dan dilahirkan di Negeri Kedah.
  2. Ibu atau bapa lahir di Negeri Kedah melebihi 10 tahun.
  3. Pendapatan isi rumah mestilah RM3,000 sebulan dan ke bawah.
  4. Anak tersebut mestilah lahir pada 1 Januari hingga 31 Disember 2021.

Cara Membuat Permohonan

Untuk membuat permohonan, sila ikuti langkah-langkah berikut iaitu:

  1. Buka akaun Simpan SSPN Prime terlebh dahulu.
  2. Pergi ke Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah yang terdekat (lokasi pejabat boleh dirujuk melalui pautan ini www.jkm.gov.my/jkm/
  3. Isi borang permohonan dengan lengkap dan betul.
  4. Borang permohonan yang lengkap diisi perlu dihantar semula ke Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah yang terdekat.

Cara Membuka Akaun Simpan SSPN Prime

Ibu bapa boleh membuka akaun Simpan SSPN Prime secara online melalui langkah-langkah berikut:

  1. Layari laman web sspniplus2u.my/index.php/sspn-prime.
  2. Klik butang ‘Pembukaan Akaun SSPN Prime.’
  3. Isi semua maklumat yang diperlukan dan klik butang ‘Hantar.’
  4. Selepas membuat penghantaran, buat pembayaran untuk melengkapkan pendaftaran.
  5. Pendaftaran berjaya.

Selain Kedah, terdapat empat negeri lain yang juga melaksanakan program berbentuk insentif kelahiran ini  iaitu Terengganu, Johor, Perak, dan Melaka.

Untuk sebarang pertanyaan mengenai Program Anakku Sejahtera, sila rujuk ke Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah dalam Negeri yang berhampiran.

 

Sumber : PTPTN

Salma Syahbuddin