Bapa Tinggalkan Anak Tanpa Pengawasan, Budak 4 Tahun Maut Terjatuh Dari Tingkat 29

Seorang kanak-kanak perempuan berusia empat tahun ditemui mati terjatuh dari tingkat 29 akibat kecuaian seorang bapa meninggalkan kanak-kanak itu tanpa pengawasan di rumah di sebuah kondominium dekat Jalan Ipoh, pada Selasa.

Polis menerima laporan kejadian pada jam 2.41 petang selepas seorang kakitangan pengurusan menemui mayat mangsa di kawasan koridor di tingkat lapan kondominium berkenaan.

Menurut Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Beh Eng Lai, ketika kejadian, bapa mangsa berusia 35 tahun keluar membeli barang dan mangsa ditinggalkan bersendirian tanpa pengawasan dengan pintu rumah berkunci.

“Sebaik pulang ke rumah, bapa mangsa tidak melihat kelibat anaknya dan mengesyaki kanak-kanak itu terjatuh dari tingkap sebelum meminta bantuan dari pihak pengurusan untuk mencari mangsa.

“Mangsa kemudian ditemui oleh salah seorang kakitangan pengurusan di kawasan koridor tingkat lapan dalam keadaan tidak bernyawa,” katanya.

Eng Lai berkata, pihak pengurusan kondominium kemudian menghubungi ambulans dan sepasukan anggota paramedik dari Hospital Selayang yang pergi ke lokasi kejadian mengesahkan mangsa meninggal dunia.

“Hasil siasatan polis di tempat kejadian mendapati tingkap bilik mangsa dalam keadaan terbuka dan terdapat sebuah kerusi di tepi tingkap bilik itu.

“Tingkap di dalam bilik itu didapati tidak mempunyai jeriji dan hasil siasatan lanjut mendapati tiada unsur jenayah ditemui dalam insiden ini,” katanya.

Eng Lai berkata, mayat dihantar ke Unit Forensik Hospital Selayang untuk bedah siasat bagi mengenal pasti punca kematian dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR).

Eng Lai menyeru orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kes ini supaya menghubungi Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul di talian 03-40482206 bagi membantu siasatan polis.

Sumber: BH

Marcella