Dakwaan Gangguan Seksual Ebit Lew : Polis Rakam Keterangan Mangsa

Umum maklum, dakwaan gangguan seksual yang heboh diperkatakan baru-baru ini melibatkan pendakwah terkenal, Ustaz Ebit Lew.

Terbaru, menerusi laporan daripada Harian Metro, pihak polis kini sudah mengambil keterangan mangsa yang dikaitkan dengan siasatan kes tersebut.

Baca artikel berkaitan: Dakwaan Gangguan Seksual: “Ini Satu Fitnah Yang Sangat Kejam & Melampau” – Ebit Lew

Bagaimanapun, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Abd. Jalil Hassan enggan mendedahkan siapa mangsa dan berapa ramai saksi yang sudah tampil membantu siasatan.

“Masih belum ada perkembangan terbaru lagi, orang ramai ada maklumat boleh tampil,” kata beliau ringkas ketika dihubungi di sini hari ini.

Terdahulu, siasatan terhadap pendakwah terkenal, Ebit Lew dilakukan selepas polis menerima laporan daripada beberapa individu yang mendakwa pendakwah itu melakukan gangguan seksual.

Bertindak atas laporan itu polis membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan, Seksyen 14 Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil 1955 serta Seksyen 23 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Pada 19 Ogos lalu, Ebit, 37, dipanggil polis untuk dirakam keterangan berhubung penyebaran video gangguan seksual yang dikaitkan dengan Ebit.

Bagaimanapun, Ebit ketika ditemui media sebaik selesai memberi keterangan mendakwa dakwaan tersebut berunsur fitnah kejam ke atas dirinya.

Baca artikel berkaitan : Rumah Ustaz Ebit Lew Digeledah, Polis Lengkapkan Siasatan

 

Attiqah Mohd

""Above all, she is the girl who 'feels' things, who has hung on to the freshness and pain of adolescence, the girl ever wounded, ever young.”