Filem Tempatan Prebet Sapu Akan Ke Oscars

Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) telah memilih filem ‘indie’ Prebet Sapu arahan Muzammer Rahman untuk mewakili negara ke anugerah akademi Oscars ke-94 yang akan berlangsung pada 27 Mac tahun hadapan di Los Angeles, Amerika Syarikat.

Filem yang merupakan arahan pertama Muzammer Rahman ini dibintangi oleh Amerul Affendi dan Mei Fen Lim.

Prebet Sapu mengisahkan tentang kehidupan yang dihadapi oleh anak muda berbeza latarbelakang di Kuala Lumpur pada hari ini dimana watak utamanya merupakan seorang pemandu ‘e-hailing’.

Filem yang bertemakan hitam putih ini juga dibarisi penampilan istimewa seperti Bront Palarae, Sharifah Amani, Nam Ron, Roslan Madun, Chew Kin Wah, Nadiya Nisaa, Megat Shahrizal, Jay Iswazir, Anas Ridzuan, Atoi Tohet dan Shah Kimin.

Prebet Sapu yang juga dikenali sebagai ‘Hail,Driver!’ di dalam bahasa inggeris ini akan bertanding dibawah pencalonan kategori Filem Cereka Antarabangsa Terbaik.

Menurut Finas, filem yang diterbitkan oleh Le Mediator Studio, Kristal Azmir Sdn Bhd dan Konda Kondi Studio ini memenuhi kriteria yang telah ditetapkan oleh penganjur Oscars.

Memetik kenyataan media yang dikeluarkan Finas, pemilihan filem Prebet Sapu ini dibuat oleh Jawatankuasa Pemilihan Filem FINAS yang terdiri daripada penggiat filem tempatan bertaraf profesional.

“Filem Prebet Sapu dinilai melalui proses penilaian terperinci berdasarkan kriteria perfileman seperti pengarahan, penceritaan, sinematografi, lakon layar, lakonan, adunan bunyi, skor muzik, penataan seni dan suntingan filem,” kata Finas melalui kenyataan medianya.

Pengarah filem ini berkata bajet filem ini hanya RM 500,000 dan dia berasa amat bernasib baik kerana pelakon-pelakon yang bekerjasama dalam filem ini bersetuju dengan bayaran ‘token’.

Sementara itu, filem ini turut ditayangkan di beberapa negara seperti India, Sepanyol, Kanada dan Amerika Syarikat.

Prebet Sapu bakal ditayangkan di tanah air pada 16 Disember tahun ini.

Sumber : The Star

Arfah