Jangan Jadi Suami Dayus Gara-Gara Ikut Trend ‘Unboxing’ Pasangan

Sejak trend ‘unboxing by husband’ atau ‘unboxing pasangan’ tular di media sosial, ramai pihak tampil menegah perbuatan yang dianggap bertentangan dengan prinsip dan budaya Islam.

Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata, Islam memerintahkan suami untuk menjaga kehormatan dan penampilan isteri masing-masing. Ini termasuklah melindungi dan memelihara ahli keluarga daripada mendapat kemurkaan Allah SWT.

Selain itu, perkara sebegini mampu mencetuskan kepada perkara yang lebih parah seperti mendedahkan aksi mesra yang keterlaluan, mendedahkan aurat dan lain-lain.

“Hadith daripada Abdullah bin Umar bahawa Rasulullah SAW bersabda, tiga golongan yang Allah SWT haramkan ke atas mereka daripada memasuki syurga, iaitu orang yang ketagihan arak, orang yang menderhakai ibu bapanya dan lelaki dayus iaitu orang yang membiarkan kejahatan dalam keluarganya.

“Al-Munawi menyatakan bahawa ‘dayus’ dalam hadith itu bermaksud orang yang membiarkan kejahatan atau perbuatan keji dalam kalangan ahli keluarganya iaitu isteri dan kaum kerabat terdekatnya,” katanya.

Mulakan kehidupan baru dengan perbuatan maksiat

Selain Dr. Zulkifli, penceramah bebas, Ustazah Asma Harun juga tampil mengulas isu ini menerusi hantaran di Instagram miliknya.

Menurutnya, perasaan teruja menyebabkan seseorang itu hilang pertimbangan termasuklah mudah terikut-ikut semata-mata mahu mendapatkan followers, likes, dan perhatian.

Namun, budaya berkongsi sesuatu yang peribadi bagi suami isteri ini bukan budaya dan tuntutan Islam.

Justeru itu, beliau berharap agar masyarakat menjauhi segala bentuk trend yang boleh menjatuhkan maruah sendiri malah, membentuk budaya yang rosak akhlaknya.

ARTIKEL BERKAITAN: ‘Unboxing By Husband’ Viral Di TikTok, Pu Syed Tampil Beri Amaran – “Ia Perbuatan Mengarut & Boleh Mendatangkan Fitnah”

Salma Syahbuddin