Joe Flizzow Jadi Guru Bahasa Inggeris… Tukar Profesion Ke?

Penyanyi rap terkenal, Joe Flizzow mendapat inspirasi melancarkan program pengajian Bahasa Inggeris selepas mendapat respons seorang guru di Kelantan.

Guru itu berterima kasih atas usaha kumpulan rap yang dianggotai oleh Joe, Too Phat yang merakamkan album sepenuhnya dalam bahasa Inggeris.

Memetik laporan Berita Harian, projek Start Your English Journey With Joe Flizzow menawarkan aplikasi pembelajaran, SOLS Edu kepada umum khususnya generasi muda untuk belajar Bahasa Inggeris.

“Saya menerima surat daripada seorang guru di Kelantan, selepas menghasilkan album pertama Too Phat yang sepenuhnya dalam bahasa Inggeris.

“Cikgu itu mengucapkan terima kasih kepada kami kerana berjaya menarik perhatian pelajar untuk mempelajari bahasa Inggeris selepas mendengar lagu Too Phat.

“Apabila saya bercakap dengan pengasas SOLS 24/7, Raj Ridvan Singh atau Teacher Raj, adalah sangat jelas bahawa kami mempunyai matlamat sama untuk membantu golongan muda mencapai potensi penuh mereka.

“Pada masa itu, saya tahu bekerjasama dengan SOLS Edu dalam projek itu adalah cara terbaik untuk saya menyumbang kepada masyarakat,” katanya.

Malah, program ini mempunyai kaedah pembelajaran yang teratur dan menyediakan akses secara percuma untuk belajar bahasa Inggeris.

Aplikasi pembelajaran SOLS Edu yang dibangunkan sejak enam tahun lalu mempunyai pelbagai versi.

Program ini bertujuan untuk membantu setiap rakyat Malaysia menguasai bahasa Inggeris di tempat kerja daripada kemudahan peranti digital mereka sahaja.

Melalui kerjasama itu, Joe akan mengajar 28 topik atau 52 pelajaran yang merangkumi asas bahasa Inggeris.

Selain itu, peserta akan menerima sijil masing-masing setelah tamat pembelajaran.

Projek ini juga membolehkan peserta lebih bersedia dalam penguasaan tatabahasa dan perbendaharaan kata untuk menduduki kertas Ujian Bahasa Inggeris Cambridge terpilih.

“Ini adalah aplikasi yang mengagumkan, dengan kaedah pembelajaran bahasa Inggeris yang lebih mudah.

“Pelajar hanya perlu melanggan aplikasi SOLS Edu dan saya akan membimbing mereka melalui setiap pelajaran,” katanya.

Sumber: BH

Marcella