Kerajaan Bakal Perketat SOP Khusus Jika Kes COVID-19 Terus Meningkat

Susulan peningkatan kes sebanyak 10,089 pada Ahad,  kerajaan dilaporkan bakal memperketatkan semula prosedur operasi standard (SOP) dari masa ke semasa.

Antara sektor yang akan diberi penekanan berhubung kes lonjakan adalah melibatkan sektor pendidikan.

Ini kerana, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menetapkan pelajar daripada bukan kelas peperiksaan yang pulang bercuti sempena Tahun Baharu Cina TIDAK dibenarkan untuk kembali ke asrama.

Menurut, Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Mohd Radzi Jidin, pelajar tersebut perlu mengikuti proses pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR).

Selain itu, kerajaan berkemungkinan akan memperkenalkan SOP khusus bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor yang bakal diadakan tidak lama lagi.

Namun, menurut Pakar epidemiologi dari Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Madya Dr Malina Osman memaklumkan, walaupun kes harian COVID-19 mencatatkan peningkatan mendadak dan kembali mencecah 20,000 kes tidak lama lagi, kerajaan tidak akan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) seperti sebelum ini.

“Kita perlu tahu bahawa situasi sekarang amat berbeza, ini kerana kesan klinikal berikutan varian Omicron tidak begitu teruk berbanding Delta dan kit ujian saringan kendiri boleh didapati pada harga hampir 90 peratus lebih murah di pasaran.

“ Oleh itu, tanggapan bahawa kita bakal berdepan sekatan pergerakan atau PKP menjelang hari raya Aidilfitri nanti adalah tidak berasas, malah jaminan sudah diberikan kerajaan yang akan membuat sebarang keputusan bersandarkan bukti dan asas sains,” katanya.

Terdahulu, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menegaskan kerajaan tidak akan melaksanakan PKP dan sekatan untuk pulang ke kampung bagi sambutan Aidilfitri tahun ini.

Namun, jika kes meningkat di sesuatu kawasan, PKP Diperketatkan (PKPD) akan dilaksanakan.

ARTIKEL BERKAITAN:Tiada PKP Atau Sekatan Balik Kampung Sempena Tahun Baru Cina & Hari Raya Aidilfitri – Ismail Sabri

ARTIKEL BERKAITAN:Elak Sekatan Pergerakan Berulang, Sistem Amaran Berisiko Akan Diperkenalkan – KJ

ARTIKEL BERKAITAN:Tiada Sekatan Rentas Daerah, Hanya Sekatan Rentas Negeri Dilakukan

Sumber: BH, Sinar

Salma Syahbuddin