Kerajaan Jamin PKP Tidak Akan Dilaksanakan Menjelang Aidilfitri – PM

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menegaskan bahawa kerajaan tidak akan melaksanakan sebarang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) atau sekatan rentas daerah serta negeri dalam usaha mengawal penularan COVID-19, termasuk pada Aidilfitri nanti.

Sebaliknya hanya akan melaksanakan sekatan secara bersasar bergantung kepada jumlah jangkitan di setiap kawasan.

“Kita sudah tahu betapa sukarnya kehidupan rakyat apabila PKP dilaksanakan yang mana kerajaan sudah membuka semuanya dan membenarkan rakyat kembali berniaga dan sebagainya.

“Begitu juga dengan pergerakan merentas negeri kerana kita tidak akan menyekat lagi pergerakan, cuma pintu sempadan negara sahaja belum dibuka lagi disebabkan kes yang tinggi di luar negara.

“Sesetengah negara juga masih menutup pintu sempadan mereka, tetapi dalam negara kerajaan sudah benarkan sepenuhnya untuk merentas termasuk balik raya (Aidilfitri) nanti. Cuma kita sendiri kena tahu mengawal supaya kes tidak terus merebak,” katanya.

Tambahnya lagi, jika PKP sekali lagi dilaksanakan rakyat hanya akan menerima impak negatif selain sektor ekonomi dan pelancongan akan terjejas teruk atau gulung tikar.
Sumber : Awani

 

Salma Syahbuddin