Kerajaan Setuju Suntikan Dos Ketiga Vaksin Covid-19, Keutamaan Diberikan Kepada…

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memaklumkan, kerajaan bersetuju untuk melaksanakan pemberian dos ketiga vaksin COVID-19.

Namun, pemberian dos ketiga ini akan diberikan keutamaan kepada golongan yang berisiko terutamanya bagi  meningkatkan perlindungan.

Kategori yang diberi keutamaan suntikan dos ketiga

Berikut merupakan golongan yang akan diberikan keutamaan untuk mendapatkan dos ketiga suntikan vaksin COVID-19.

  • Anggota barisan hadapan kesihatan
  • Pesakit kurang daya tahan imun atau ‘immunocompromised'(warga tua dengan komorbiditi dan individu yang tinggal atau bekerja di pusat jagaan jangka panjang (long-term care facilities)
  • Golongan rentan

Ismail Sabri berkata, pemberian dos ketiga ini diharap dapat meningkatkan tahap imuniti dalam kalangan individu berisiko tinggi terhadap jangkitan Covid-19 yang mungkin menurun dalam tempoh tertentu selepas pemberian dos kedua.

Bagaimanapun, langkah tersebut akan dilakukan selepas negara mencapai kadar vaksinasi populasi dewasa di seluruh negara melebihi 80 peratus.

Terdahulu, Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, pemberian suntikan dos ketiga vaksin COVID-19 ini dijangka akan bermula pada Oktober depan.

Salma Syahbuddin