Kes Kedua Penyakit Anjing Gila Melibatkan Lelaki Warga Emas

Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS) memaklumkan seorang lagi lelaki warga emas dijangkiti penyakit anjing gila atau rabies di daerah Kuala Langat pada 22 April lalu.

Setakat ini, ini merupakan kes kedua yang berlaku di negeri ini.

Pengarah Kesihatan Selangor Datuk Dr Sha’ari Ngadiman berkata, kes terbaru ini melibatkan lelaki warga emas yang berumur 85 tahun yang dimasukkan ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang pada 20 April lalu.

Menurut Dr Sha’ari, sebelum dimasukkan ke HTAR, mangsa terlebih dahulu dirujuk ke Klinik Kesihatan Telok Panglima Garang kerana masalah anemia (pucat).

Lelaki warga emas itu merupakan seorang yang aktif dan mampu menguruskan diri sendiri namun, ahli keluarga mangsa mendapati bahawa beliau telah berubah tingkah lakunya.

“Pemeriksaan mendapati beliau mempunyai luka di kaki kanannya yang tidak sembuh sejak dua bulan yang lalu. Sejak dua minggu lalu juga, beliau turut mengadu sakit kepala dan hilang selera makan.

“Beliau turut mempunyai sejarah digigit anjing liar di kawasan kediamannya di Pulau Carey dua bulan lalu,” katanya menerusi Facebook rasmi JKNS.

Tambah Dr Sha’ari, pada 22 April mangsa disahkan positif rabies oleh Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) selepas sampel cecair tulang belakang (CSF) dan biopsi nukal mangsa dilakukan.

Mangsa kini berada di dalam keadaan yang stabil dan masih dirawat di wad isolasi HTAR.

Sebelum ini, pada 10 April, JKNS memaklumkan satu kes kematian seorang lelaki yang disahkankan dijangkiti penyakit anjing gila pada 4 April.

Sumber: BERNAMA

Maya Basir