Kuarantin Wajib 7 Hari Tidak Perlu Jika Tidak Positif Lagi

Tempoh kuarantin dikurangkan sekiranya individu tidak lagi positif COVID-19 sebelum tempoh tujuh hari seperti yang ditetapkan oleh kerajaan sebelum ini.

Menurut Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin, sebelum ini individu yang dijangkiti COVID-19 wajib menjalani kuarantin selama tujuh hari.

Namun, jika kes sudah disahkan negatif pada hari keempat dan ujian RTK-Antigen telah dijalankan oleh pengamal perubatan, individu tersebut tidak perlu lagi meneruskan kuarantin mereka.

“Sekiranya masih positif, individu berkenaan perlu melengkapkan tempoh pengasingan tujuh hari,” katanya pada sidang media hari ini.

Tambah Khairy, ujian tersebut hendaklah menggunakan RTK-Antigen dengan penyeliaan pengamal perubatan yang berdaftar dengan Majlis Perubatan Malaysia (MMC), sama ada secara fizikal atau maya.

“Keputusan ujian berkenaan hendaklah dimasukkan ke dalam sistem eCOVID oleh pengamal perubatan bagi memastikan integrasi data dengan aplikasi MySejahtera dapat berlaku dalam tempoh kurang daripada satu jam.

“Ini supaya individu berkenaan segera mendapat perintah pelepasan daripada pengasingan apabila keputusan ujian pengesanan tersebut negatif COVID-19.

“Sekiranya individu itu tidak memilih untuk menjalani ujian pengesanan COVID-19, maka pelepasan akan diberikan secara automatik selepas menjalani pengasingan selama tujuh hari,” ujarnya.

Sumber: Berita Harian

Kredit foto: Astro Awani

Maya Basir