Pelajar Perempuan Dipercayai Terjun Bangunan Sekolah Lepas Duduki Peperiksaan

Seorang pelajar berumur 17 tahun ditemui cedera akibat dipercayai terjun dari tingkat empat bangunan di sebuah sekolah di Kulai, Johor pada Selasa.

Memetik laporan BERNAMA, Ketua Polis Daerah Kulai Supt Tok Beng Yeow berkata remaja tersebut mengalami pendarahan di kepala dan muka, pendarahan dalaman serta kedua-dua tangannya patah.

Menurut Tok, kejadian itu dipercayai terjadi kira-kira jam 1.26 tengah hari selepas pelajar itu selesai menjalani peperiksaan.

“Pasukan penyiasat bersama sepasukan anggota daripada Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Kulai bergegas ke sekolah itu sejurus menerima panggilan telefon daripada seorang guru.

“Dipercayai selepas selesai menduduki peperiksaan, pelajar terbabit pergi ke bangunan yang menempatkan pelajar Tingkatan 4 lalu bertindak terjun dari koridor bangunan itu,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Pelajar berkenaan telah dihantar ke Hospital Temenggong Seri Maharaja Tun Ibrahim, Kulai sebelum dirujuk ke Hospital Sultanah Aminah untuk rawatan lanjut.

Kes ini disiasat mengikut Seksyen 309 Kanun Keseksaan kerana cubaan bunuh diri.

Sumber: BERNAMA

Kredit foto: Berita Harian

Arfah