Pemain Bola Sepak Direhatkan Kerana Disabit Kes Rogol – “Kami Tidak Akan Bertolak Ansur Dengan Sebarang Perlakuan Tidak Bermoral Oleh…”

Pemain bola sepak liga tanah air yang terpalit dengan kes rogol seorang gadis pada Mei lalu direhatkan daripada menyertai sesi latihan pasukan dan perlawanan Liga Premier.

Ketua Pegawai Operasi Kelantan United FC, Wan Mohd Zul Ikman Wan Abdul Aziz berkata, keputusan untuk merehatkan pemain berusia 28 tahun itu berkuat kuasa serta-merta sehingga tempoh dimaklumkan kelak.

Menurutnya, pasukan itu turut mengesahkan pemain mereka tersabit dengan isu rogol tersebut dan memberi sepenuh kepercayaan kepada pihak berkuasa untuk tindakan undang-undang.

“Pasukan menunggu laporan penuh berhubung kes berkenaan dan sentiasa mengutamakan undang-undang negara.

“Pihak pengurusan pasukan berpendirian tidak akan bertolak ansur dengan sebarang perlakuan tidak bermoral oleh mana-mana pihak dalam pasukan ini,” katanya.

Tambahnya, sekiranya pemain tersebut terbukti bersalah, pihaknya juga akan mengambil tindakan mengikut peruntukan undang-undang dan terma yang dipersetujui dalam kontrak.

“Pasukan juga berpegang kepada prinsip, ‘seseorang itu masih tidak bersalah, sehingga dibuktikan bersalah’.

Terdahulu, polis menahan seorang pemain bola sepak liga tempatan di Kota Bharu pada 29 Mei bagi membantu siasatan kes rogol seorang remaja perempuan.

Pemangku Ketua Polis Kelantan Datuk Muhammad Zaki Harun berkata, tangkapan suspek dibuat di Jalan Pantai Cahaya Bulan (PCB) selepas mangsa berusia 18 tahun membuat laporan.

ARTIKEL BERKAITAN: Direman Selama Empat Hari, Pemain Bola Sepak Didakwa Merogol Remaja Perempuan

Sumber & kredit foto: Sinar Harian

 

Maya Basir