Pengarah Kisah Cinta Kita Jawab Dakwaan Babak Tepis Telefon Tiru Babak K-Drama Descendants of The Sun

Sebelum ini, tular di TikTok tentang babak di dalam drama bersiri Kisah Cinta Kita dikatakan meniru adegan drama cinta popular di Korea, Descendants of The Sun (DOTS).

Menerusi video TikTok yang dimuat naik oleh pengguna @iamnaziera, video tersebut menunjukkan perbandingan antara drama DOTS dengan Kisah Cinta Kita dan banyak komen dari netizen mempersoalkan perkara terbabit.

Menurut pengarah drama Kisah Cinta Kita, Rizal Baharudin, dia sudah menjangkakan komen-komen netizen yang mengatakan drama ini meniru babak dalam drama DOTS tersebut.

“Masa saya nak remake scene itu saya sebenarnya sudah agak benda ini mesti akan menjadi viral, orang akan bercakap saya meniru DOTS.

“Sebenarnya, cerita ini tak tiru, saya cuma ambil idea mereka untuk kita remake balik babak itu kerana ia kena dengan jalan cerita drama yang saya buat ini. Sambil itu saya nak mempromosikan juga cerita ini,” katanya di sidang media Kisah Cinta Kita.

Tambah Rizal, dia tahu ada segelintir yang mendakwa jalan cerita drama Kisah Cinta Kita sama seperti drama Korea My Girl dan Descendents of The Sun tetapi dia menafikan dakwaan terbabit.

“Ada orang kata semasa babak di dalam kereta, ia sama macam drama My Girl tapi itu cuma kebetulan,” kata Rizal lagi.

Dalam masa yang sama, Rizal mengakui terdapat elemen K-drama yang dimasukkan dalam drama ini tetapi ia tidak sama seperti drama-drama yang didakwa oleh netizen sebelum ini.

Apa yang boleh dikatakan Rizal adalah elemen k-drama itu cuma dijadikan inspirasi bagi drama Kisah Cinta Kita.

Kisah Cinta Kita mengisahkan tentang watak Alessa yang dimainkan oleh Amelia Henderson didatangi oleh seorang lelaki yang tidak dikenali iaitu Amer watak yang dilakonkan Aedy Ashraf.

Amer meminta Alessa untuk menyamar sebagai Natasha yang telah menghilangkan diri kerana mereka mempunyai wajah yang serupa.

Drama ini mengandungi plot yang akan membuatkan penonton tertanya-tanya apa yang akan terjadi selepas ini.

Kisah Cinta Kita turut dibarisi pelakon berpengalaman seperti Datuk Jalaludin Hassan, Datin Seri Maria Farida dan Ikmal Amry.

Saksikan gandingan hebat Aedy Ashraf bersama Amelia Henderson di dalam drama 28 episod ini pada setiap hari Isnin hingga Jumaat, pukul 7.00 malam di slot Akasia TV3.

Arfah