Pengarah Urusan Dipenjara 230 Tahun Akibat Tipu Pakej Umrah

Seorang pengarah urusan sebuah syarikat dihukum penjara 230 tahun oleh Mahkamah Majistret selepas didapati bersalah atas 23 pertuduhan berkaitan penipuan pakej umrah di Mekah dan ziarah ke Mesir antara 2015 hingga 2016.

Hukuman dijatuhkan Majistret Arif Mohamad Shariff terhadap tertuduh, Misbahalmunir Omar, 56, selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes melampaui keraguan munasabah.

Tertuduh, dihukum penjara 10 tahun bagi setiap pertuduhan menjadikan jumlah keseluruhan hukuman adalah selama 230 tahun.

Namun, tertuduh hanya perlu menjalani hukuman penjara selama 10 tahun selepas mahkamah memerintahkan hukuman bagi setiap pertuduhan tersebut berjalan secara serentak bermula tarikh sabitan.

Selain itu, mahkamah turut mengecualikan tertuduh daripada hukuman sebatan kerana telah berusia lebih 50 tahun dan membenarkan permohonan pihak pembelaan menangguhkan hukuman berkenaan kerana akan melaksanakan proses rayuan berkaitan sabitan dan hukuman ke Mahkamah Tinggi.

Oleh itu, mahkamah memutuskan untuk menetapkan jaminan sebanyak RM88,000 dengan seorang penjamin dan tertuduh perlu menyerahkan pasport antarabangsa kepada pihak mahkamah sehingga proses rayuan selesai.

Sebelum ini, tertuduh yang juga pengarah urusan syarikat Raudah Mawaddah Travel & Tours Sdn Bhd telah melakukan urusan bagi melaksanakan rombongan umrah dan ziarah dengan seorang individu pada tahun 2015.

Individu berkenaan, Amzari Halim yang juga pengadu merupakan seorang perunding dan mutawwif umrah telah diminta memasukkan wang secara berperingkat ke dalam akaun bank yang diberikan tertuduh bagi pembelian tiket perjalanan pergi dan balik.
Bagaimanapun, tiada pemakluman daripada tertuduh  kepada pengadu yang menyatakan bahawa syarikatnya telah bankrap sejak 14 Januari 2015 atas perintah Mahkamah Tinggi Alor Setar.
Sementara itu, pengadu memaklumkan kesemua 56 transaksi dilakukan dalam tempoh 23 hari antara 2 November 2015 hingga 28 Januari 2016 dengan jumlah keseluruhan bernilai RM434,250 membabitkan 202 peserta.
Tertuduh juga telah menghantar maklumat tiket bagi kesemua peserta kepada pengadu yang mana penerbangan dijadualkan pada 29 dan 30 Januari 2016.
Namun, setelah tiba di Lapangan Antarabangsa Kuala Lumpur, kesemua itenari tiket yang dibekalkan tertuduh tidak sah pada hari kejadian dan tidak wujud sebelum laporan polis dibuat.
Untuk rekod, kesemua kesalahan itu dilakukan di beberapa lokasi termasuklah, di sekitar Kedah, Johor dan Selangor.
Sumber/kredit: Awani
Salma Syahbuddin