Pernah Terfikir Anak Hal Yang Menyusahkan, Raja Ilya Kini Rasa Nikmat Jadi Ibu

Pelakon Raja Ilya, 37, mengakui rasa bersalah kerana pernah terfikir memiliki anak adalah perkara yang menyusahkan dan menganggu rutin hidup semasa masih bujang dahulu.

Melalui perkongsiannya di Instagram, Raja Ilya atau nama sebenar Raja Ramilah Begum Raja Mohammad berkata apabila sudah bergelar ibu rasa nikmat memiliki anak ini tidak terhingga nikmatnya.

“Bila bujang selalu fikir ada anak ini menyusahkan, susahkan hidup sendiri, susahkan badan nak mengandung, nak kena jaga bentuk badan. Nanti anak buat hal bikin sakit kepala, bila bayi suka menangis tak tentu pasal dan kacau tidur dan lain-lain.

“Tapi bila sudah ada anak baru rasa semua itu salah, betapa cerianya mereka walaupun 10 kali bangun tengah malam, badan letih, perut boroi, rutin hidup tak sama dah, tapi satu hal apabila sudah ada anak, semua rasa macam saya okey, baik-baik saja,” katanya.

Tambahnya, Talita Love kini dalam fasa kuat menangis namun dia seronok menjalani pengalaman tersebut.

“Sekarang dia tengah melalui fasa ‘purple crying’ dan kepada ibu-ibu, tahulah kamu bagaimana perasaan itu kan. Tapi saya tetap rasa tidak mengapalah, saya baik-baik saja.

“Dia seorang bayi yang sangat ceria dan saya bersukur sangat melahirkannya. Terima kasih Talita Love kerana hadir dalam hidup kami dan menambah keceriaan serta gelak tawa. Kami sayang awak,” katanya.

Terdahulu, pelakon tersebut selamat melahirkan bayi perempuan di Hospital King Edward, Perth pada 1 Julai lalu.

Raja Ilya dan pasangan, Garret telah mendirikan rumah tangga pada Disember 2018 dan berpindah ke Perth.

Maya Basir