Putera Mateen Sah Bergelar Suami Kepada Dayang Anisha

Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Mateen Bolkiah sah bergelar suami kepada Yang Mulia Dayang Anisha Rosnah Adam di Masjid Omar Ali Saifuddien, Bandar Seri Begawan, Brunei, hari ini.

Menerusi perkongsian secara langsung di RTB Brunei, Putera Mateen dilihat tiba memasuki masjid untuk upacara pernikahannya kira-kira jam 2.10 petang.

Ketibaan Putera Mateen diiringi dengan ketibaan Sultan Brunei Sultan Hassanal Bolkiah berserta kerabat diraja.

Istiadat pernikahan dilaksanakan oleh Yang Berhormat Pehin Orang Paduka Seri Utama Dato Paduka Seri Setia Haji Awang Salim dan mahar sebanyak 1,000 Ringgit Brunei.

17 tembakan meriam menandakan Istiadat Nikah Diraja selesai.

Istiadat perkahwinan pasangan diraja itu berlangsung selama 10 hari, dan dimulakan dengan Majlis Istiadat Bersuruh Diraja, pada 7 Januari lalu.

Majlis Istiadat Akad Nikah Diraja pada 11 Januari, manakala acara kemuncak iaitu Majlis Bersanding Pengantin Diraja dijadualkan berlangsung di Istana Nurul Iman, pada 14 Januari.

Majlis Persantapan Diraja pula akan diadakan pada 15 Januari diikuti Majlis Istiadat Membaca Doa Selamat dan Menutup Gendang Jaga-Jaga pada 16 Januari.

Untuk rekod, Mateen, 32, ialah anakanda kepada Sultan Brunei Sultan Hassanal Bolkiah bersama Datin Paduka Seri Mariam Abdul Aziz.

Pasangannya pula ialah cucu penasihat khas kepada Sultan Brunei, Pehin Datuk Isa.

Putera Mateen adalah keenam dalam giliran pewaris takhta, namun dilihat sering mengiringi ayahandanya ketika lawatan rasmi ke luar negara.

Mateen adalah lulusan dalam politik antarabangsa dari King’s College London. Ketika ini, beliau adalah juruterbang helikopter untuk Tentera Udara Diraja Brunei, yang berpangkat Mejar.

Selain itu, putera ini juga adalah pemain polo dan mewakili negaranya dalam acara sukan itu pada Sukan Asia Tenggara pada 2017 dan 2019.

ARTIKEL BERKAITAN: [VIDEO] Putera Mateen & Dayang Anisha Selamat Bertunang

Khairil Khusyairi