Rakyat Malaysia Bangga Bahasa Melayu Menjadi Bahasa Kedua Komunikasi di Makkah & Madinah

Berita paling menyentuh hati buat rakyat Malaysia apabila penggunaan Bahasa Melayu semakin luas di Makkah dan Madinah malah dikatakan telah menjadi bahasa kedua komunikasi di kota suci itu selepas bahasa Arab.

Memetik laporan Utusan Malaysia, seorang Tokoh Bahasa dan Kebudayaan Melayu Nusantara, Prof. Datuk Dr. Aripin Said mengakui sangat terharu sehingga meremang bulu roma apabila menyedari penggunaan Bahasa Melayu di kota suci Makkah dan Madinah semakin berleluasa.

Beliau yang sedang menunaikan umrah di tanah suci bermula pada 6 Mac lalu menganggap perkara tersebut agak aneh namun tetap membanggakannya.

“Penggunaan bahasa Melayu secara meluas oleh peniaga dan toko besar yang menjual pelbagai produk seperti permaidani, jubah, tasbih, cincin permata, buah-buahan dan lain-lain mencabar sesetengah rakyat Malaysia yang memandang enteng bahasa Melayu.

“Rakyat Malaysia harus berasa bangga kerana bahasa Melayu diguna pakai di peringkat antarabangsa membabitkan le­bih 350 juta penutur malah men­duduki tangga ke-10 bahasa paling popular penggunaannya di dunia,” katanya selepas me­nunaikan ibadah umrah yang berakhir semalam.

Meninjau di ruangan media sosial Twitter, sebuah ciapan mengenai perkara berkenaan telah mendapat perhatian orang ramai sehingga ciapan tersebut tular.

Rata-rata daripada kalangan wargamaya turut meluahkan rasa bangga dan terharu dengan penggunaan Bahasa Melayu sebagai lingua fraca (bahasa perhubungan) di negara Arab.

Malah, ada juga dalam kalangan mereka memuat naik sebuah video TikTok yang menunjukkan seorang peniaga Arab menggunakan Bahasa Melayu semasa menarik pelanggan untuk membeli sambil menyebut, “Malu apa bossku. Mahathir boley, Ismail boley, Najib boley. Mana mana ransam berdunsa!”

Fuh, hebatnya peniaga Arab, ayat trending pun mereka tahu! Hihi..

Aqilah Paharuzi