“Saya Tak Berkempen Pun” – Fattah Amin Menang Pelakon Filem Lelaki Popular Atas Usaha Peminat

Pelakon dan penyanyi, Fattah Amin memenangi trofi Pelakon Filem Lelaki Popular, Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) Ke-34.

Fattah menewaskan empat calon lain iaitu Sharnaaz Ahmad, Syafiq Kyle, Syahmi Sazli dan Izuan Fitri.

Menurut Fattah, projek yang membuatkan dia menang bagi kategori itu adalah menerusi filem Mimaland.

“Saya nak ucapkan Alhamdulillah, syukur rezeki saya malam ni. Terima kasih kepada keluarga saya yang menyokong, isteri saya yang mendoakan dan peminat-peminat yang mengundi.

“Kategori filem yang saya menang ini sebenarnya daripada filem Mimaland. Filem ini telah ditayangkan tahun lepas.

“Ada juga ‘receive few awards’ daripada luar negara, kali ini dapat pula kategori filem untuk ABPBH 34,” katanya ketika ditemu bual di belakang pentas.

Apabila ditanya bagaimana Fattah berkempen untuk mengundi dalam keadaan pandemik, Fattah mendedahkan semuanya atas hasil usaha peminat.

“Sejujurnya, saya tak berkempen pun. Tapi peminat-peminat, saya perasan mereka sangat-sangat aktif dan berusaha untuk memastikan mereka mengundi artis-artis yang mereka minati.

“Saya perasan dekat media sosial, banyak yang ‘text’ saya, daripada ‘posting’ untuk terus mengundi saya dalam kategori filem ini.

“Mungkin kempen itu dalam kalangan peminat. Kalau dulu boleh jumpa peminat tapi sekarang susah sikit,” katanya.

Tambahnya, semua calon dalam kategori itu hebat-hebat belaka.

Namun, Fattah berterima kasih kepada peminat yang terus menyokongnya untuk memenangi trofi tersebut.

“Saya rasa semua hebat-hebat. Semuanya ada filem dan lakonan yang hebat-hebat.

“Tapi apa yang boleh saya cakap, ini adalah rezeki saya malam ini dan rezeki peminat saya juga yang mengundi.

“Saya nak cakap terima kasih banyak kepada peminat yang mengundi,” ujarnya.

Marcella