Selepas Digantung, ‘Crackhouse Comedy Club’ Disimbah Cat Merah, Hitam

Selepas tular dengan isu kontroversi melibatkan pelawak komedi wanita, Siti Nuramira Abdullah, 26, yang didakwa atas Kesalahan Yang Berhubungan Dengan Kesucian Agama Islam Dan Institusinya, kini kelab komedi itu dilaporkan telah disimbah dengan cat berwarna merah dan hitam pada Selasa.

Menurut Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Azmi Abu Kassim, laporan polis telahpun dibuat berhubung perkara tersebut.

“Saya boleh sahkan laporan polis sudah dibuat dan kita kaan siasat.

“Kami menggesa agar orang ramai tidak mengambil tindakan sendiri,” katanya.

Difahamkan, cat itu disimbah pada papan tanda serta pintu masuk ke kelab komedi berkenaan.

Terdahulu, tular video 54 saat menunjukkan seorang wanita tampil berpakaian sopan dalam satu majlis di sebuah kelab di TTDI, di sini.

Dalam video berkenaan, wanita itu mendakwa dirinya beragama Islam serta menghafal 15 juzuk al-Quran sebelum secara tiba-tiba menanggalkan baju kurung serta tudungnya hingga mendedahkan aurat.

Dan, pada 13 Julai lalu, media melaporkan Siti Nuramira Abdullah, 26, mengaku tidak bersalah mengikut Seksyen 298A Kanun Keseksaan kerana menimbulkan rasa tidak harmoni dalam kalangan masyarakat Islam ketika melakukan persembahan di kelab komedi berkenaan pada 4 Jun lalu.

Sumber: Harian Metro
Salma Syahbuddin