Telan 12 Kapsul Ketum Dua Kali Sehari, Seorang Lelaki Masuk ICU

Seorang lelaki dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) selepas mengalami masalah jangkitan dalam darah, ginjal rosak serta rasang hempedu dipercayai akibat ketum.

Menerusi perkongsian Public Health Malaysia di Facebook, lelaki berusia 38 tahun tanpa sejarah perubatan itu mengalami gejala demam, sakit perut, keletihan dan kencing gelap dua hari sebelum dimasukkan ke hospital.

“Dalam siasatan, pesakit dikatakan menelan 12 kapsul ketum dua kali sehari dalam masa beberapa bulan, dikatakan sebagai suplemen kesihatan.

“Pesakit didapati demam, nadi laju, kekuningan mata serta perut sakit apabila ditekan. Kencingnya mempunyai protein tinggi menunjukkan ginjal tidak mampu menapis dengan baik atau rosak,” katanya.

Lelaki tersebut juga mengalami anemia dan masalah hati manakala ‘ultrasound’ menunjukkan hempedu telah menebal disebabkan radang.

“Pesakit dimasukkan ke ICU dan sembuh selepas rawatan. Susulan itu, pesakit disarankan agar tidak lagi mengambil suplemen ketum tersebut,” ujarnya.

Maya Basir