Varian Omicron Semakin Aktif, Peralihan Ke Fasa Endemik Ditangguhkan

Sebelum ini negara sudah bersiap siaga untuk hidup di dalam fasa endemik tetapi susulan dengan penularan varian Omicron, kerajaan terpaksa menangguhkan peralihan ke fasa endemik buat sementara waktu.

Ini bagi memberi ruang kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk membuat pemantauan dan pemerhatian terhadap varian baharu COVID-19, Omicron.

Menurut Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, kerajaan bimbang fasa endemik yang merangkumi tujuh asas yang dirancangkan sebelum ini akan terkesan ekoran penularan Omicron jika tidak dipantau dan ditangani.

Antara tujuh asas utama yang dirancangkan untuk mencapai fasa endemik sebelum ini termasuk pembukaan sempadan negara secara berperingkat.

“Walaupun sehingga hari ini kita tidak dengar kes di negara kita, tetapi tindakan berhati-hati harus dilaksanakan,” kata Hishammuddin.

Hishammuddin turut memaklumkan KKM sedang menjalankan kajian lebih mendalam tentang kebolehjangkitan, gejala dan tempoh inkubasi varian Omicron yang akan diberitahu dalam masa terdekat.

Kerajaan juga akan memperkasakan kawalan sempadan antarabangsa dengan mengenakan kawalan ketat terhadap kemasukkan dari negara yang mempunyai varian Omicron.

Pada hujung November sebelum ini, saintis telah menemukan varian COVID-19 baru yang dipanggil Omicron dimana ia pertama kali ditemukan di Botswana di selatan Afrika.

Varian Omicron bukan sahaja menular di selatan benua Afrika tetapi juga di beberapa buah negara seperti Hong Kong, Belgium, Australia, Itali dan United Kingdom.

Terbaru, Brazil dan Jepun turut menemukan kes pertama varian Omicron di negara mereka.

World Health Organization (WHO) berkata, varian kelima virus COVID-19 Omicron ini membawa risiko jangkitan yang lebih tinggi berbanding dengan varian COVID-19 lain.

WHO juga menggelarkan varian Omicron sebagai varian yang membimbangkan.

Sumber: BERNAMA dan World Health Organization.

Kredit foto: Utusan dan The Guardian

Arfah