Categories: Trending

Tya Arifin Teruja Dapat Makan Semeja Dengan Vincent Tan

Pelakon, penyanyi dan usahawan, Tya Arifin menzahirkan rasa teruja selepas dirinya dan suami, Asyraf Khalid dapat bertemu ahli perniagaan yang disegani ramai, Tan Sri Vincent Tan tempoh hari.

Ujar pelantun lagu Bagai Mutiara, dia berkesempatan bertemu jutawan itu ketika majlis makan malam bagi meraikan hari ulang tahun kelahiran ibu mentua tirinya yang juga penyanyi nombor satu negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza.

“Selain merayakan ulang tahun Mak Iti, saya berkesempatan untuk makan malam dan bersembang dengan Tan Sri Vincent Tan. Seorang yang amat berjaya di Malaysia. Beliau adalah salah satu idola usahawan yang saya kagumi.

“Momen yang berharga ketika duduk bersebelahan dan beliau kongsi apa sebenarnya kunci kejayaan beliau hingga hari ini,” katanya yang mengusahakan perniagaan Mutyara Beauty.

Mempunyai matlamat yang tinggi dan berkeinginan menggapai kecemerlangan yang sama dengan Vincent, Tya telah melahirkan lebih 30,000 usahawan Mutyara dan menyasarkan bilangan 100,000 pada tahun 2022.

Bahkan, Tya juga tidak terlepas meluahkan perasaan syukur atas nasihat dan kata-kata semangat yang diberikan oleh pengasas Berjaya Corporation Berhad itu.

Meninjau ke ruangan komen posting berkenaan, rata-rata pengikutnya meninggalkan komen positif dan rasa teruja dengan semangat gigih Tya dalam membantu masyarakat untuk keluar daripada kepompong kemiskinan dan berjaya dalam kehidupan.

Terdahulu, Tya ini dilihat aktif bertemu para usahawannya menerusi program Road Tour Mutyara di seluruh pelusuk negara.

Untuk rekod, selepas empat tahun bertapak dalam dunia bisnes, ibu kepada dua cahaya mata ini disahkan telah berjaya melahirkan jutawan sulung Mutyara sekitar November tahun lalu.

Padin