Categories: FeaturedUncategorized

Hukuman mati menanti mereka yang berswafoto di pantai ini, biar betul?

Bayangkan anda sedang berada di pulau yang indah, angin bayu berhembus sepoi-sepoi bahasa mendinginkan tubuh dan di udara terlihat sebuah kapal terbang sedia mendarat dengan ketinggian kurang 30 meter, apa perkara pertama yang akan anda lakukan?

Sudah tentu mencapai kamera, tindakan refleks yang menggesa anda tidak terlepas merakam momen yang jarang sekali dapat kita saksikan itu. Pastinya swafoto yang anda rakam itu akan mendapat ribuan tanda suka jika dimuat naik di Instagram!

Walau bagaimanapun, jika anda berada di pantai Mai Khao jangan sekali-kali melakukan perkara itu. Kenapa tidak boleh? Kerana jika melakukannya anda mungkin berdepan dengan hukuman berat (hukuman mati) oleh pihak penguatkuasa Thailand.

Hukuman berat yang dikuatkuasakan oleh kerajaan Thailand ini diwujukan sebagai usaha untuk meningkatkan tahap keselamatan di Lapangan Terbang Antarabangsa Phuket Thailand, yang terletak berdekatan dengan Mai Khao, sebelah Utara kepulauan Thailand.

Foto: pinterest

Kebelakangan ini, pantai yang kian terkenal sebagai Unseen Phuket ini menjadi suasana latar pelancong untuk berswafoto dek kerana pemandangan kapal terbang yang terbang rendah di lokasi itu untuk proses mendarat di lapangan berkenaan.

Menurut Bangkok Post, pihak berkuasa sangat prihatin mengenai potensi risiko keselamatan yang diambil oleh perakam foto terhadap juruterbang dan pesawat serta kini mereka sedang giat membangunkan zon keselamatan baharu berdekatan landasan kapal terbang tersebut.

“Orang ramai dan pelancong tidak akan dibenarkan masuk ke kawasan ini untuk mengambil gambar,” kata Timbalan Ketua Lapangan Terbang Phuket, Wichit Kaeothaihiam.

Pihak berkuasa lapangan terbang mengeluarkan amaran tambahan buat sesiapa sahaja yang tinggal atau menetap di sekitar sembilan kilometer dari lapangan terbang tersebut, melarang sebarang drones untuk terbang di kawasan itu atau memancarkan sebarang cahaya terang ke arah kapal terbang yang ingin mendarat di situ, menurut laporan Chiang Rai Times.

Foto: CNN

Sesiapa yang melanggar undang-undang tersebut, yang mana ditubuhkan di bawah Akta Navigasi Udara, bakal berhadapan dengan hukuman maksimum negara itu.

“Hukuman maksimum adalah hukuman mati,” katanya.

Hukuman yang kurang berat termasuklah denda sehingga 40,000 baht (lebih kurang RM5,131) atau penjara sehingga 20 tahun.

Kedengaran agak ekstrem, namun pengumuman yang dilakukan itu adalah untuk kebaikan semua pihak terutamanya mengelakkan sebarang kemalangan jiwa berlaku kerana mengambil gambar di lokasi tersebut sememangnya merbahaya dan mengundang padah, tidak hanya kepada pengambil gambar, malah juga untuk nyawa penumpang, krew kapal serta juruterbang kapal terbang yang mendarat di landasan itu.

Foto: orissapost.com

Yanie Baharom