Euforia Bola 2026
Hiburan By: Padin March 12, 2025 @ 4:17pm

Aktif Lahirkan Usahawan Baharu, Zamshuri Ramli Rindukan Dunia Lakonan

Pelakon dan usahawan Datuk Zamshuri Ramli, 54, yang pernah populariti menerusi drama Skuad Elit pada sekitar tahun 2000 mengaku rindu terhadap dunia lakonan setelah sekian lama memberi fokus kepada bidang keusahawanan.

Walaupun sibuk dengan perniagaan dan program pembangunan insan, perasaan ingin kembali beraksi di hadapan kamera tetap ada.

“Saya bersyukur kerana boleh dikatakan tak menang tangan dengan tawaran berlakon ketika itu.

“Filem-filem lakonan saya antaranya ialah Don (Bollywood), Misi 1511, Gerak Khas The Movie 3 dan Kepulangan.

“Saya juga pernah bergelar penyampai radio untuk IKIM serta menghasilkan album secara berduet dengan Rashdan Baba berjudul Langkah yang berkonsep motivasi,” katanya.

Namun, sejak lebih sedekad lalu, Zamshuri memperlahankan aktiviti seninya untuk memberi fokus kepada keluarga dan kerjaya dalam bidang motivasi serta pembangunan insan.

“Saya pernah memperlahankan kerjaya lakonan selama dua tahun atas beberapa faktor antaranya menjaga bapa yang uzur dan kemudian arwah meninggal dunia pada 2011.

“Ketika itu juga saya sudah mula aktif sebagai penceramah motivasi bebas. Saya terpaksa fokus pada perkara yang lebih penting dan menjadikan lakonan sebagai kerjaya kedua.

“Drama terakhir saya ialah Dendam Sarakit dan Transit Terakhir yang boleh ditonton menerusi YouTube.

“Bagaimanapun saya macam nak buat ‘comeback’ kerana rasa rindu dengan semua rakan-rakan media dan artis,” katanya yang pernah menjadi peserta Hero Remaja dan Manhunt pada tahun 90-an.

Terima Anugerah Bintang Usahawan Negara

Dalam pada itu, Zamshuri mencipta satu lagi kejayaan membanggakan apabila menerima Anugerah Bintang Usahawan Negara 2025, anugerah yang mengiktiraf sumbangan besarnya dalam membimbing lebih 7,000 usahawan melalui Program Pembangunan Usahawan Waqaf Digital.

Pelakon yang kini dikenali sebagai Master Coach HBA itu meluahkan rasa syukur atas penghormatan yang diterimanya.

“Alhamdulillah. Anugerah ini satu penghormatan besar buat diri saya. Apatah lagi, anugerah ini turut diterima insan hebat Datuk Aaron Aziz dan Datuk Norman KRU.

“Saya rasa kecil sahaja diri ini hendak dibandingkan dengan mereka. Namun, semangat dan pengorbanan mereka dalam apa yang diperjuangkan cukup memberi inspirasi kepada saya.

“Terima kasih yang tidak terhingga juga buat Datuk Nor Hasnal Hashmi yang merupakan individu penting di sebalik (DPDDM). Beliau nampak usaha saya dalam terus berbakti kepada masyarakat. Saya akan terus berbakti,” katanya.

Komited Membantu Golongan Kurang Berpeluang

Zamshuri bukan sekadar membimbing usahawan biasa, tetapi juga memberi peluang kepada mereka yang kurang bernasib baik seperti individu yang tidak mempunyai pendidikan tinggi, mereka yang muflis serta yang mempunyai rekod CTOS dan CCRIS.

“Pengiktirafan yang diberikan membuatkan saya lebih bersemangat untuk memberikan yang terbaik kepada masyarakat.

“Alhamdulillah, saya sudah lahirkan lebih 7,000 usahawan menerusi Program Pembangunan Usahawan Waqaf Digital.

“Setiap bulan saya buat sesi temu duga dan lima orang yang terpilih saya taja sepenuhnya selama tiga tahun. Inilah saya lakukan sejak lima tahun kebelakangan ini.

“Jadi boleh saya katakan, kebanyakan mereka yang tak mempunyai diploma atau hanya setakat peringkat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), sukar untuk mendapat peluang yang sebegini baik. Ini disebabkan hanya kerana kurang cemerlang dalam akademik.

“Sedangkan mereka yang mempunyai diploma dan ijazah mempunyai peluang yang lebih bagus berbanding golongan ini.

“Siapa lagi nak bantu mereka yang kurang berjaya dalam akademik? Saya pilih yang betul-betul bersemangat, sentiasa berfikiran positif, mempunyai personaliti menarik.

“Dalam masa yang sama, dia wajib suka dua perkara ini iaitu nak jadi usahawan dan berminat dengan jualan serta pemasaran,” ujarnya.

Keperluan Untuk Memberi Peluang Kedua

Menurut Zamshuri, ramai yang gagal dalam akademik bukan kerana malas, tetapi disebabkan kekangan hidup.

“Kadang-kadang mereka bukan tak pandai tetapi tidak diberikan peluang. Mungkin tidak dapat sambung belajar disebabkan datang daripada keluarga susah.

“Saya melihat, kalau peluang tidak diberikan, situasi ini jadi lebih parah seperti menjadi punca berlakunya gejala sosial.

“Apabila golongan ini mahu berniaga, ada saja syarat atau kelayakan yang tidak mampu dipenuhi mereka kerana tidak belajar tinggi.

“Jadi saya fikir, golongan ini memerlukan program seperti yang saya anjurkan. Di mana saya akan tolong dari A to Z. Bukan hanya separuh jalan atau janji manis sahaja,” katanya.

Menyamakan proses membimbing usahawan seperti melatih kanak-kanak berjalan, Zamshuri percaya mereka perlu diberikan masa dan bimbingan yang cukup sebelum mampu berdikari.

“Kita semasa kecil dulu, sebelum pandai berjalan, berapa kali kita jatuh? Mesti jatuh tidak terkira banyaknya sebelum kita mampu berjalan dan berlari.

“Ketika jatuh itu, kita sentiasa ada pembimbing iaitu ibu dan ayah kita yang sabar melatih kita sampailah kita mahir berjalan.

“Begitulah juga dalam bidang usahawan, perlu bimbing mereka daripada kosong sampailah dia mahir. Kemudian baru kita lepaskan mereka menentukan arah tuju mereka.

“Sebab itu kalau ikut program saya, mereka perlu dibimbing sekurang-kurangnya setahun hingga tiga tahun.”

Antara manfaat yang ditawarkan dalam program ini termasuklah tajaan modal permulaan, latihan keusahawanan percuma selama tiga tahun, personal coaching mentor-mentee, serta sijil pengiktirafan Certified International Marketing Consultant dan Public Speaking Profesional.

Malah, peserta juga akan mendapat simpanan KWSP ISARAAN, caruman Perkeso, khairat kematian serta produk percuma untuk memulakan perniagaan.

Dengan segala pencapaiannya dalam dunia keusahawanan, Zamshuri tetap menyimpan impian untuk kembali ke dunia lakonan. Namun, buat masa ini, keutamaannya adalah terus membantu mereka yang memerlukan.

“Saya mahu memastikan lebih ramai anak muda dapat membina kehidupan yang lebih baik. Itu kepuasan sebenar saya,” katanya.

| Live TV

| ARTIKEL Xtra

Featured Thu, 13 Apr 2023
Hiburan Sun, 20 Oct 2019

“Kalau Nak Buka Aib, Dah Banyak Saya Boleh Ceritakan, Tapi…” – Datin Rebecca Nur Islam

Selepas mendirikan rumahtangga dengan Dato’ Nur Azam Sulaiman pada 14 Januari 2011, pelakon, Datin Rebecca Nur Islam menumpukan sepenuh perhatian kepada keluarganya, lebih-lebih lagi selepas mempunyai enam orang cahaya mata, sudah tentu masa banyak diluangkan […]

Featured Tue, 29 Apr 2025

“Berhentilah Provoke! Dia Terlalu Muda Untuk Terima Kecaman” – Gagal Tahan Sebak, Datin Shahida Pertahan Adik Ipar

Shahida meluahkan rasa simpati dan keprihatinan terhadap nasib yang menimpa kedua-dua adik iparnya

Events Fri, 9 Aug 2019

筹备三年!黄彩菱首发EP勇闯华语乐坛

从小受英语教育的Natalia黄彩菱努力筹备了三年,终於正式推出首张个人EP 《I Dare You To》勇闯华语乐坛。

Trending Fri, 9 Apr 2021

Cipta Sejarah Baru, K-Clique Jalin Kolaborasi Dengan…

Sejarah baru tercipta apabila kumpulan popular, K-Clique, kini menjalin kerjasama dengan syarikat jenama tempatan yang semakin meningkat naik iaitu Todak. K-Clique, kumpulan hip hop Malaysia yang dianggotai oleh lapan orang anak muda dari Kota Kinabalu, […]

Trending Tue, 10 Sep 2019

Lelaki minta tunang buktikan masih dara, Dr Amalina kesal!

Fakta: dara boleh hilang sekalipun tidak pernah melakukan hubungan kelamin

error: Content is protected !!