Categories: Drama

Di Sebalik Watak: Baqir Jamalullail Sebagai Azhar dalam ‘Jaga Aku Selamanya’

Drama Lestary, ‘Jaga Aku Selamanya’ mengetengahkan watak Azhar yang merupakan cahaya mata sulung kepada Maya (dilakonkan oleh Nadiya Nisaa) dan Syukri (dilakonkan oleh Johan As’ari). Dia mempunyai empat orang lagi adik-beradik. Keluarga mereka hidup dalam kemiskinan.

Pemergian bapanya yang berlaku secara tiba-tiba telah menyebabkan kehidupan mereka sekeluarga menjadi huru-hara. Kehilangan bapanya juga bermaksud kehilangan mata pencarian. Perkara ini telah mendesak si ibu untuk berhijrah ke kota demi mencari rezeki. Anak-anaknya terpaksa ditinggalkan.

Walaupun hanya berusia 12 tahun, Azhar telah menggalas tanggungjawab untuk menjaga adik-beradiknya.

Dia telah mengambil upah untuk bekerja di sebuah restoran bagi memastikan adik-adiknya tidak kelaparan. Pelbagai cabaran perlu ditempuhinya demi memastikan adik-beradiknya dapat mengisi perut dan berlindung dari hujan dan cahaya matahari.

Baqir Jamalullail merupakan pelakon cilik yang memainkan watak Azhar ini.

Apabila ditanya apa yang menarik minatnya untuk membawa watak ini, Baqir menjawab, “Ini pertama kali Baqir dapat watak seberat ini.” Oleh demikian, tambahnya lagi, “Baqir cuba untuk buat sebaik yang boleh. Kalau boleh lagi baik daripada Abang Ali (abang kepada Baqir).”

Dalam usahanya untuk memberi yang terbaik, dia telah banyak berbincang dengan Assistant Director (AD) Wan C. Bapanya, Jeri Jamalullail, juga membantu dalam persiapannya untuk memainkan watak Azhar dengan memainkan video kisah kanak-kanak yang mengharungi cabaran hidup.

Menurut Baqir, cabaran yang terbesar bagi dirinya dalam memainkan watak Azhar ini adalah membawa sifat abang. Katanya, “Sebab Baqir ni anak nombor enam. Jadi cabarannya ialah Baqir ni manja. Tiba-tiba nak kena jadi keabangan pula.” Namun, latihan bersama AD dan bapanya ternyata membantu.

Pelakon berusia 10 tahun ini menyatakan rasa terharu apabila ramai menghargai lakonannya. Dia juga sentiasa ingin menyampaikan yang lebih baik. “Bila Baqir tengok balik di televisyen, Baqir dah tahu macam mana nak perbaiki lagi lakonan Baqir,” ujarnya.

Apabila ditanya mengapa ‘Jaga Aku Selamanya’ ini adalah drama yang wajib ditonton, Baqir menjawab dengan nada bergurau, “Pertama sekali, sebab Baqir ada dalam drama tersebut.” Tambahnya lagi, drama ini sarat dengan pengajaran dan sesuai bagi semua lapisan umur.

Baqir juga berharap agar banyak lagi drama yang berkisar nilai kekeluargaan dan masyarakat dapat dihasilkan.

Cerita Apa? ‘Jaga Aku Selamanya’
Hari Apa? Episod Akhir, Rabu 5 April 2023
Jam Berapa? 9 malam
Di Mana? TV3 & Strim Langsung di Tonton

Afiqah Azizan