Categories: familuv

Doktor Sheikh Muszaphar Kongsi Rutin Anak Tidur Awal Tanpa Meragam

Setiap ibu bapa yang mempunyai anak kecil tentu sekali mahukan anak mereka tidur awal dan dapat tidur yang secukupnya. Tapi, tidak semua anak-anak mahu tidur awal dan ia antara satu cabaran kepada ibu bapa yang bekerja. 

Ini kerana, anak-anak yang tidur lewat akan menyebabkan ibu bapa itu sendiri tidur lewat. Dahlah penat bekerja, tidur lewat pula! Anak-anak pula mungkin waktu tidurnya kurang berkualiti kerana akan dikejutkan pada awal pagi untuk dihantar ke taska. 

Sebenarnya, untuk membiasakan anak tidur awal waktu dan mendapatkan waktu tidur yang mencukupi, ibu bapa harus menerapkan rutin harian yang baik untuk anak-anak terutama sejak mereka kecil. 

Baru-baru ini, Doktor Sheikh Muszaphar telah berkongsi di laman Instagramnya tentang rutin dia dan isteri yang dilakukan sejak anak pertamanya lagi.

Menurutnya, ibu bapa perlu berdisiplin dalam menerapkan rutin harian anak-anak. Jadi, jom kita ketahui bagaimana rutin yang dipupuk oleh Doktor Sheikh Muszaphar kepada anak-anaknya setiap malam.

Menurut Doktor Sheikh Muszaphar, dia dan isteri cuba untuk mengekalkan rutin untuk anak kembarnya seperti yang dilakukan pada anak sulungnya. Ternyata, anak kembarnya suka sangat dengan rutin yang dilakukannya. Antara rutin yang dilakukan adalah:

  1. Makan malam bermula pada jam 6.30 petang yang biasanya terdiri daripada beras, lobak dan kentang.
  2. Lepas makan, boleh mandi sebelum masuk waktu Maghrib.
  3. Anak kembarnya akan bermain selama 1 jam sama ada dengan kakak-kakaknya atau mainan mereka.
  4. Minum susu pada pukul 9 malam dan biasanya mereka mula berasa mengantuk sekitar jam 9.30 malam dan seterusnya akan tidur.

Nampak mudah saja kan rutinnya? Doktor Sheikh Muszaphar juga menasihati kepada ibu bapa yang anaknya tidur lewat perlu membuat rutin untuk anak mereka tidur awal.

Mungkin lepas ini anda boleh ikuti rutin Doktor Sheikh Muszaphar. Mana tahu berkesan kan? 

Sumber: Instagram

tex_admin