Categories: familuvFeatured

4 kemahiran hidup si kecil boleh belajar ketika COVID-19

Kanak-kanak sihat adalah kanak-kanak yang aktif, mempunyai sifat ingin tahu yang sangat tinggi dan boleh dikatakan mereka akan diam hanya ketika tidur sahaja.

Oleh itu, sepanjang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini, pastinya mereka juga terkesan kerana tidak bebas bermain terutama di luar kawasan rumah.

Bagaimanapun, kita tidak tahu apa yang difikirkan kanak-kanak apabila mereka tidak boleh bermain di taman, tidak boleh ke pusat asuhan untuk bersama rakan-rakan sebaya dan yang pasti juga mereka tidak boleh bertemu guru kesayangan mereka.

Ibu bapa perlu bijak menyediakan aktiviti yang boleh dilakukan anak ketika di rumah sepanjang PKP – gambar hiasan. Foto: NSTP.

Pakar psikologi daripada Universiti Antarabangsa Alliant, Ron Stolberg, berkata berkurung di rumah akan memberi tekanan pada kanak-kanak yang aktif, tetapi ibu bapa perlu bijak memikirkan aktiviti yang bermanfaat untuk si kecil.

“Ini adalah waktu yang teruk untuk dilalui oleh sesiapa sekali pun. Tetapi pada masa sama tempoh berkurung di rumah ini akan memberi peluang pada kanak-kanak untuk belajar bagaimana cara terbaik untuk mengendalikan kesusahan dalam hidup.

“Oleh itu, dalam tempoh beberapa bulan ini, kanak-kanak secara keseluruhannya tidak akan mengalami apa yang selama ini mereka lakukan di sekolah atau taman asuhan,” katanya dalam satu perkongsian di laman sosial Catherine Pearson.

Ajak anak lakukan aktiviti bersama-sama anda agar dia berasa diperlukan – gambar hiasan. Foto: NSTP/Nurul Syafina Jemenon.

Sehubungan itu, katanya, ada empat perkara yang boleh dijadikan pengajaran kepada kanak-kanak ketika wabak COVID-19 ini iaitu cara untuk menghadapi ketidakpastian, daya tahan, pembelajaran di luar kurikulum sekolah dan cara mengukuhkan ikatan kekeluargaan.

Berikut dikongsikan penjelasan bagi empat perkara berkenaan:

1. Ketidakpastian
Sesuatu yang yang dianggap sebagai ketidakpastian atau ketidakselesaan adalah sebahagian daripada proses pembangunan mental yang sihat menuju kedewasaan.
Tindakan: Ibu bapa perlu bercakap kepada anak mengenai pandemik ini yang tidak pasti bila akan berakhir.

2. Daya tahan
Inilah masa yang boleh dilakukan untuk membina daya tahan dalam kalangan kanak-kanak kerana pakar mengatakan kanak-kanak dan remaja lazimnya mempunyai daya tahan yang tinggi terhadap apa yang dihadapi.
Tindakan: Ajar atau jadi contoh kepada anak bagaimana anda sendiri menangani sesuatu masalah, mislanya cara menenangkan diri.

Beri mereka peluang lakukan apa yang mereka tidak sempat lakukan sebelum ini – gambar hiasan. Foto: NSTP/Ainal Marhaton Abdul Ghani.

3. Pembelajaran di luar kurikulum sekolah
Tempoh perintah berkurung sepanjang wabak COVID-19 ini juga adalah tempoh yang boleh digunakan oleh kanak-kanak untuk belajar selain daripada apa yang mereka pelajari di sekolah.
Tindakan: Tanya anak apa yang mereka mahu lakukan yang sebelum ini tidak berkesempatan untuk dilakukan.

4. Kukuhkan ikatan kekeluargaan
Masa ini juga boleh digunakan untuk menerangkan pada anak bahawa mereka adalah sebahagian anggota penting dalam keluarga dan perlu bekerja sebagai satu kumpulan.
Tindakan: Ajak si kecil anda membuat kerja rumah bersama-sama seperti mengemop lantai, biarkan mereka sediakan sendiri sarapan yang mereka mahu atau didik mereka mengenai kebersihan dengan tunjuk ajar yang betul.

Shaidah Shafie