Categories: FeaturedOh Lawa

Baju digayakan Lee Min Ho dalam drama The King: Eternal Monarch tarik perhatian

Bagi peminat K-Drama, pasti demam The King: Eternal Monarch masih dirasai walaupun episod terakhir sudah disiarkan pada 12 Jun 2020 menerusi rangkaian berbayar Netflix.

Kejayaan mencapai kedudukan keempat dalam senarai program atau drama paling tinggi ditonton menerusi saluran berbayar itu tidak menghairankan.

Selain tarikan Lee Min-ho sebagai Maharaja Lee Gon dan gandingannya, Kim Go-eun (Leftenan Jung Tae-eul), jalan cerita fantasi mengenai dua dunia berbeza yang wujud dalam garis masa selari membuatkan penonton sentiasa ternanti-nanti episod berikutnya.

Barisan pelakon The King: Eternal Monarch ketika sidang media K-drama berkenaan, Mei lalu. (Gambar Netflix)

Tetapi apa yang pasti, kisah percintaan lelaki yang kacak dengan wanita biasa yang berpenampilan sederhana, akan sentiasa mendapat tempat di hati peminat.

Sejak zaman Winter Sonata sehingga The King: Eternal Monarch, K-drama sentiasa berjaya mencuri perhatian dunia terutama paparan keindahan pemandangan yang dirakam di Korea Selatan sehingga menjadikan republik itu antara destinasi pelancongan utama dunia.

The King: Eternal Monarch pula turut mencuri tumpuan peminat apabila kesemua watak utama siri berkenaan menggayakan baju berjenama dalam setiap episod.

Menurut laman sesawang Preview, Min-ho umpamanya menggayakan jaket musim sejuk jenama Prada, Dior, Hermes, Dunhill, Berlutti, Fendi dan Louis Vuitton.

Lee Min-ho menggayakan jaket musim sejuk Prada berharga RM16,918. (Gambar kredit Preview)

 

Bersesuaian dengan wataknya selaku Raja muda yang memerintah Kingdom of Korea, penampilan Min-ho dengan jaket jenama fesyen antarabangsa dalam drama berkenaan tampak hebat dan berkarisma.

Dalam babak pertemuan Maharaja Lee Gon dengan bapa saudaranya yang jahat, Lee Min-ho mengenakan baju jenama Dunhill. (Gambar kredit Preview)

Selain Min-ho, Her World melaporkan Go-eun juga tidak ketinggalan menggayakan pelbagai baju jenama antarabangsa dalam drama berkenaan.

Jaket musim sejuk ini daripada W Concept berharga RM1,187 (Won 337,400).

Meskipun ramai peminat yang mempertikaikan gaya Go-eun yang mengenakan baju bersaiz besar dan tidak feminin, penampilannya bersesuaian dengan wataknya yang lasak selaku pegawai polis dalam drama terbabit.

Go-eun menggayakan jaket musim sejuk daripada jenama Moontan yang berharga RM1,051 (Won 298,800).

Go-eun yang mencuri tumpuan dunia menerusi drama Goblin sebelum ini, menggayakan pelbagai baju dan jaket musim sejuk daripada jenama seperti Moontan, Gouache, W Concept, And You serta Ssense.

Penampilan hebat kedua-dua pelakon itu dikatakan meningkatkan jualan baju yang digayakan apabila jenama antarabangsa berkenaan mendapat pelbagai pertanyaan daripada peminat The King: Eternal Monarch.

Fadzlena Jafar